DUNIA > BERITA

MM2H Raih Populariti Dalam Kalangan Rakyat Thailand Kerana Tarikan Pendidikan, Gaya Hidup

01/07/2025 10:39 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 1 Julai (Bernama) -- Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) semakin mendapat tarikan dalam kalangan rakyat Thailand, didorong oleh budaya yang hampir sama, jarak yang dekat dan kos sara hidup yang kompetitif, menurut pejabat Tourism Malaysia di Bangkok.

Pengarah Tourism Malaysia di Bangkok Nurul Ain Mohammed Yunus berkata semakin ramai individu dan keluarga dari wilayah itu melihat melangkaui pelancongan jangka pendek, sebaliknya memilih untuk tinggal lebih lama di negara yang menawarkan kualiti hidup, kestabilan dan peluang.

“Thailand kini muncul sebagai pasaran yang berpotensi untuk segmen MM2H.

“Antara daya tarikan utama bagi pemohon MM2H dari Thailand ialah sektor pendidikan. Malaysia semakin dikenali sebagai hab pendidikan di Asia dengan universiti yang tersenarai dalam ranking global, sekolah antarabangsa serta persekitaran pembelajaran pelbagai bahasa,” katanya kepada Bernama selepas sesi padanan perniagaan yang diadakan di Bangkok pada Isnin.

Nurul Ain menambah bahawa ribuan pelajar antarabangsa, termasuk dari Thailand memilih Malaysia kerana jaraknya yang dekat, kos yang berpatutan dan kualiti akademik yang baik.

Beliau berkata Malaysia menawarkan semua ini dan banyak lagi – persekitaran kehidupan yang selamat, mampu milik dan berbilang budaya dengan akses kepada penjagaan kesihatan bertaraf dunia, infrastruktur moden serta semangat kemasyarakatan yang kukuh.

Pada Isnin, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing melakukan lawatan kerja ke Bangkok bagi memperkukuh kerjasama pelancongan dua hala dan meletakkan asas bagi hubungan yang lebih kukuh menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Tiong mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya dari Thailand, Menteri Pelancongan dan Sukan Sorawong Thienthong, sebelum mengadakan pertemuan dengan pemain industri pelancongan di Thailand.

Dari Januari hingga April 2025, Malaysia menerima 13.4 juta pelawat antarabangsa, meningkat 21 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, ketibaan pelawat dari Thailand mencecah 833,610 orang, meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun sekali gus mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai pasaran utama.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan