ISKANDAR PUTERI, 27 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 dengan tema “Jom Beli Lokal”, sebagai usaha merancakkan penjualan produk tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata kempen itu, memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan nilai jualan serta penembusan produk tempatan, memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik dan membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
“Kempen ini secara langsung membantu menjana pendapatan usahawan tempatan selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Pada masa yang sama, inisiatif ini memberi ruang untuk menonjolkan kualiti produk tempatan yang boleh menjadi pilihan utama, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah KPDN 2025 dan pelancaran KBBM di Pusat Konvensyen Puteri Harbour di sini, hari ini.
Armizan berkata pelaksanaan KBBM tidak hanya digerakkan oleh KPDN semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan melalui pendekatan whole of nation.
“Kita turut menyeru penyertaan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkasakan gerakan mengutamakan produk tempatan yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Armizan berkata kempen tersebut akan dilaksanakan secara fizikal melalui promosi di premis perniagaan selain diperluas ke platform e-dagang, dengan kerjasama pengendali utama platform berkenaan.
“Pendekatan e-dagang ini penting, kerana potensinya sangat luas dalam membantu menonjolkan produk tempatan ke pasaran yang lebih besar,” katanya.
Beliau memaklumkan KPDN turut merekodkan nilai jualan melebihi RM347 juta menerusi KBBM sepanjang 2023 dan 2024, melibatkan hampir 700,000 unit penyimpanan stok (SKU) melalui tiga platform e-dagang utama iaitu TikTok, Shopee dan Lazada.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han.
Johor dipilih sebagai lokasi Jelajah KPDN 2025 Zon Selatan yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini hingga 29 Jun, mengambil kira sambutan menggalakkan pada 2024 yang merekodkan kehadiran 761,659 pengunjung.
Siri jelajah itu akan diteruskan ke lima zon lain iaitu Zon Utara (Kedah), Zon Timur (Pahang), Zon Tengah (Selangor), Zon Sabah dan Zon Sarawak, dengan pelbagai program advokasi pengguna, promosi barangan tempatan serta pameran perkhidmatan agensi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial