KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Aspek penguatkuasaan dan pendakwaan berhubung kes penipuan pakej haji dan umrah perlu diperkasa serta dilaksanakan dengan lebih tegas bagi membendung isu tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata tindakan pendakwaan dan hukuman yang lebih berat mampu memberi pengajaran kepada pihak terlibat, sekali gus mengurangkan kejadian seumpama itu pada masa akan datang.
Katanya Lembaga Tabung Haji sebagai institusi yang menguruskan hal ehwal haji tidak mempunyai kuasa perundangan untuk mengambil tindakan terhadap kes seumpama itu.
“Saya fikir penguatkuasaan amat penting. Kita sudah tubuhkan pasukan petugas khas yang melibatkan Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tabung Haji (TH), namun di bawah Akta Tabung Haji, mereka tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan.
“TH hanya boleh membuat aduan kepada polis, dan seterusnya pihak pendakwaan akan mengambil tindakan. Maka, apabila sudah ada pendakwaan dan hukuman yang berat, kita perlukan penguatkuasaan serta pendakwaan yang lebih tegas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun1447H/2025M di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata di peringkat TH, sekiranya syarikat berlesen di bawah agensi itu terlibat dalam penipuan, lesen syarikat berkenaan akan ditarik serta-merta. MOTAC turut mempunyai kuasa yang sama terhadap agensi pelancongan yang menguruskan ibadah umrah.
Mengambil contoh penguatkuasaan tegas yang dilaksanakan Kerajaan Arab Saudi, Mohd Na’im berkata, negara itu berjaya menghalang kemasukan jemaah haji tanpa visa sah melalui pelbagai tindakan pengawasan dan operasi.
“Saya telah berbincang dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah pagi tadi. Beliau memaklumkan bahawa penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan tahun ini termasuk serbuan ke hotel dan rumah penginapan,” katanya.
“Saya berbincang dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah pagi tadi. Beliau memaklumkan bahawa penguatkuasaan lebih ketat dijalankan tahun ini termasuk serbuan ke hotel dan rumah penginapan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan perjalanan 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka ditipu ejen, termasuk meredah laluan berbahaya ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Pada April lepas, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menetapkan hukuman terhadap individu dan pihak yang melanggar peraturan permit haji, termasuk larangan memasuki negara itu selama 10 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial