KOTA TINGGI, 24 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 60 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian membabitkan kereta Honda Stream, lori Hino dan Toyota Hilux berkenaan pada 11.55 malam tadi.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda Stream dari arah Mersing ke Kota Tinggi hilang kawalan dan bergesel pada bahagian kanan lori, dan kemudiannya terlanggar Toyota Hilux dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta yang berusia 34 tahun itu mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang kereta itu pula cedera ringan.
“Pemandu Toyota Hilux yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial