POLITIK > BERITA

PM Anwar Berjiwa Besar Tidak Ambil Tindakan Jejas Mahasiswa UMS - Ahli MPP PKR

24/06/2025 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tiada tindakan dikenakan terhadap mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam insiden membakar karikatur beliau disifatkan sebagai satu tindakan penuh ihsan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Amidi Abdul Manan berkata tindakan itu mempamerkan sifat kebapaan Perdana Menteri yang prihatin terhadap masa depan akademik mahasiswa terbabit.

“Sekarang merupakan minggu ke-14 iaitu minggu terakhir pembelajaran sebelum minggu ulang kaji dan peperiksaan bermula.

"Sekiranya tiada pertimbangan seperti ini, proses perundangan mungkin dilaksanakan tanpa mengambil kira tekanan peperiksaan yang dihadapi pelajar,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendekatan Perdana Menteri, yang juga bekas pemimpin gerakan mahasiswa, merupakan sesuatu yang berbeza berbanding pengalaman gerakan pelajar pada era 1998.

“Ketika saya memimpin gerakan pelajar dahulu di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, ada pelajar yang dipanggil ke balai polis walaupun sedang melalui minggu genting semester akademik,” katanya.

Amidi turut menggesa pihak pengurusan UMS untuk memberikan penjelasan tuntas dan meyakinkan berhubung masalah bekalan air di kampus utama yang berlarutan.

“Mahasiswa kini sudah muak dengan alasan. Saya memahami keperitan hidup tanpa bekalan air lebih-lebih lagi menjelang minggu peperiksaan.

"Jika diberikan penjelasan yang jujur, saya yakin mereka boleh berfikir secara rasional,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan