PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki warga Indonesia ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) selepas disyaki cuba menyeludup keluar empat ekor burung spesies dilindungi sepenuhnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, semalam.
Menurut kenyataan AKPS hari ini, suspek berusia 49 tahun itu diberkas dalam satu operasi pada pukul 9.10 malam hasil kerjasama dengan anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) KLIA.
“Lelaki terbabit yang merupakan penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Surabaya didapati membawa sebuah kotak kertas yang didaftar masuk ke dalam kargo pesawat.
“Pemeriksaan lanjut menemui empat ekor burung dipercayai spesies Burung Sewah Tahu yang disorokkan di dalam bekas polipaip,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membawa keluar spesies terbabit dari negara ini.
Kesemua burung tersebut adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Berikutan itu, AKPS menyita kotak dan haiwan terbabit mengikut peruntukan undang-undang menerusi Borang Senarai Benda Disita (PHL 01/2010), dengan anggaran nilai sitaan mencecah RM52,000.
“Satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis KLIA2 dan suspek kini ditahan di Balai Polis Aeropolis sementara menunggu permohonan reman oleh pihak mahkamah,” menurut AKPS.
Kes disiasat mengikut Seksyen 71 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], yang memperuntukkan hukuman berat terhadap individu yang membawa keluar spesies dilindungi tanpa kebenaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial