Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerjasama, Sokongan Pelbagai Pihak Rentas Sektor Pacu Kejayaan MAWO Di Prague

23/06/2025 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Sokongan pelbagai pihak terhadap perjalanan MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Felda Trolak, membuktikan kerjasama merentas sektor mampu mencipta impak yang mengharumkan nama negara.

Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata FELDA amat menghargai dan merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong MAWO sehingga pasukan itu berjaya merangkul Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech, semalam.

Beliau berkata penghargaan khusus turut ditujukan kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, atas kerjasama erat dan sokongan berterusan terhadap usaha itu.

“Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian dalam bidang muzik, tetapi merupakan lambang semangat, iltizam dan jati diri anak-anak dan cucu-cucu FELDA yang membuktikan bahawa impian besar mampu direalisasikan.

“Sokongan semua pihak telah menjadi nadi kepada kejayaan ini, dan membuktikan bahawa kerjasama merentas sektor mampu mencipta impak yang mengharumkan nama negara dan FELDA di persada antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata FELDA turut merakam penghargaan kepada guru dan ibu bapa MRSM Ulul Albab FELDA Trolak khususnya guru pembimbing MAWO Raja Muzafar Shah Raja Abdullah serta Pengarah Perkhidmatan Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail, tokoh muzik negara yang menjadi sumber inspirasi serta penasihat disegani.

FELDA juga menghargai sumbangan rakan-rakan strategik yang telah membantu secara langsung dalam menjayakan misi tersebut terutamanya U Mobile yang terlibat sejak awal.

“Turut diraikan ialah FGV Holdings Berhad, Sustainable Future Sdn Bhd, Seri Pacific Corporation Sdn Bhd serta beberapa syarikat lain yang memainkan peranan penting dalam memastikan penyelarasan berjalan lancar,” katanya.

Festival yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun lepas, menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ‘lower class’, ‘middle class’ dan ‘higher class’ berdasarkan tahap kesukaran karya muzik serta keupayaan teknikal peserta.

MAWO yang bertanding bagi kategori ‘middle class’, mendapat markah tertinggi daripada panel juri profesional sekali gus menjadi kumpulan terbaik dalam kategori tersebut dan menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara.

Golden Diploma merupakan pengiktirafan tertinggi dalam pertandingan tersebut, diikuti anugerah perak dan gangsa, berdasarkan sistem pemarkahan menyeluruh yang menilai aspek teknikal, persembahan dan kesepaduan muzik.

Bagi edisi 2025, Malaysia menjadi satu-satunya wakil dari benua Asia manakala majoriti peserta lain mewakili negara Eropah.

Sementara itu, ketua pasukan lMAWO Adwa Syazani Mohd Soleh, 17, bersyukur dan berbangga terhadap kejayaan pasukannya merangkul anugerah berkenaan.

"Walaupun hanya menjalani latihan intensif selama empat bulan, pasukan tetap berjaya menempuh pelbagai kekangan termasuk jadual akademik yang padat.

"Kami sangat bangga dengan keputusan itu dan sangat berbaloi dan terbayarlah dengan apa yang kami usahakan selama ini," katanya.

Adwa Syazani berkata impian utama pasukan untuk meraih pingat emas akhirnya tercapai walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang persiapan termasuk mengorbankan masa belajar dan cuti.

Terdahulu, MAWO yang dianggotai seramai 53 pelajar Tingkatan Dua hingga Lima, termasuk 39 anak peneroka FELDA tiba di tanah air pada 2.32 petang tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Di bawah pengurusan Suhaizal dan bimbingan Raja Muzzafar Shah Raja Abdullah, pasukan MAWO menjalani latihan intensif berbulan-bulan bersama tokoh muzik negara Datuk Mokhzani Ismail yang juga Pengarah Perkhidmatan Muzik RTM.

Ditubuhkan pada 2008, MAWO bukan asing dalam dunia muzik tempatan mahupun antarabangsa.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan