SHAH ALAM, 16 Jun (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan kempen derma darah perdana UiTM Heartbeat - Nationwide Blood Drive for a Better Tomorrow yang berlangsung serentak di 22 kampus di seluruh negara hari ini bersempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia.
Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM Prof Dr Ismie Roha Mohamed Jais berkata kempen itu bertujuan menyumbang kepada bekalan darah negara yang memerlukan sekitar 2,200 beg darah setiap hari.
Beliau berkata inisiatif itu bertepatan dengan aspirasi UiTM untuk membentuk individu berjiwa besar yang prihatin terhadap keperluan masyarakat, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari 3 yang menekankan kesihatan dan kesejahteraan.
“Program ini adalah titik permulaan bagi pelaksanaan kempen derma darah secara lebih sistematik dan berkala di seluruh kampus UiTM. Kami amat menghargai sambutan luar biasa yang diberikan oleh warga universiti dan masyarakat sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Pusat Darah Negara Dr Mohammad Masrin Md Zahrin dalam kenyataan sama menegaskan usaha sedemikian amat penting dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi, selamat dan berkualiti.
“Bekalan darah diperlukan sepanjang masa untuk memastikan kelancaran rawatan di hospital. Kempen ini mampu menjadi contoh kepada institusi lain bagi mewujudkan komuniti penderma darah yang berterusan,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan UiTM turut memaklumkan kempen yang bertemakan ‘Derma Darah, Semai Harapan: Bersama Selamatkan Nyawa’ itu mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus mencapai objektif dalam menyokong sistem kesihatan negara dan membina generasi yang prihatin serta bertanggungjawab.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial