Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengumuman Peruntukan 30 Juta Pacu Transformasi Digital - Mohamad Fauzi

14/06/2025 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata pengumuman peruntukan RM30 juta kepada organisasi media tempatan akan membantu menyokong transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan kandungan.

Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini sejajar dengan usaha memperkasa ekosistem dan kelangsungan media negara.

Mohamad Fauzi juga berkata tawaran diskaun sebanyak 50 peratus secara sekali bayar oleh AirAsia kepada semua pengamal media yang sah bagi pembelian tiket penerbangan ke 57 destinasi di seluruh ASEAN yang dibuat syarikat penerbangan itu sangat dihargai.

“Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Khas HAWANA 2025 kepada keluarga Allahyarham Rozaid Abdul Rahman manakala Datuk Yong Soo Heong dipilih sebagai penerima Anugerah HAWANA 2025. Ini adalah sebagai menghargai sumbangan mereka dalam bidang kewartawanan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

HAWANA 2025 bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika" disambut meriah lebih 1,000 pengamal media tempatan serta antarabangsa.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional mengambil sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium untuk membentuk minda masyarakat bermaklumat.

Majlis kemuncak HAWANA 2025 berlangsung meriah dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan