Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MPC, STIU Bekerjasama Laksana Transformasi Digital Daftar Perniagaan Di Sarawak

19/06/2025 05:07 PM

KUCHING, 19 Jun (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak bersama Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) sedang melaksanakan satu inisiatif transformasi digital dalam sistem pendaftaran perniagaan untuk meningkatkan kadar penubuhan perniagaan baharu di negeri itu.

MPC Wilayah Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif tersebut juga bertujuan untuk mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih cekap dan mesra perniagaan serta memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan dalam membantu usahawan dan pelabur.

"Inisiatif ini seiring dengan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pusat ekonomi digital yang inovatif dan inklusif," katanya.

Satu sesi libat urus turut diadakan di sini pada Rabu sebagai langkah awal pelaksanaan inisiatif berkenaan, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pelesenan, pihak berkuasa tempatan, pemain industri, serta kementerian dan jabatan berkaitan.

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Mohamad Norjayadi Tamam berkata, sesi itu selaras dengan keputusan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) mengenai pelaksanaan inisiatif penting seperti projek rintis reformasi pendaftaran perniagaan menerusi pendekatan Uji Kaji Peraturan (Regulatory Sandbox).

“Sesi libat urus ini juga bertujuan menilai status semasa proses memulakan perniagaan, meneroka potensi digitalisasi melalui sistem sehenti dan “super form”, serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pelbagai pihak yang terlibat," katanya dalam kenyataan itu.

Susulan sesi libat urus berkenaan, sebuah projek rintis reformasi pendaftaran perniagaan akan bermula pada 1 Ogos ini di Bahagian Sibu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan