MARANG, 12 Jun (Bernama) -- Seramai 20 banduan dan bekas banduan terpilih menyertai Program iTEKAD MulaNiaga anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Penjara Terengganu, dalam usaha memperkasa golongan itu melalui bidang keusahawanan.
Program pertama seumpamanya di negara ini bertujuan menyediakan landasan ekonomi lebih baik kepada peserta melalui kemahiran tenunan songket, sekali gus membuka peluang kedua kepada mereka meneruskan kehidupan selepas menjalani hukuman.
Pengarah Penjara Terengganu Penolong Kanan Komisioner Penjara (PKK) Mohd Nasir Yusof berkata peserta yang dipilih akan menjalani kursus intensif dalam bidang teknikal dan keusahawanan, selain diberikan bantuan bahan mentah serta akses kepada pembiayaan patuh syariah termasuk geran iTEKAD dan Skim Pembiayaan Mikro MADANI BSN.
“Seramai 20 daripada 70 calon yang terdiri daripada banduan dan bekas banduan telah dipilih selepas melalui saringan serta ujian ketat.
“Objektif utama program adalah untuk memastikan kemahiran tenunan songket yang diperoleh ketika di penjara dapat dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan apabila mereka kembali ke pangkuan masyarakat,” katanya pada pelancaran program tersebut di Pusat Komuniti Tenunan Songket, Afbar Songket di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif BSN Jay Khairil Jeremy.
Sementara itu, Jay Khairil berkata program berkenaan memberi fokus kepada tiga elemen utama iaitu kemahiran teknikal, keusahawanan dan literasi kewangan.
Katanya songket dipilih kerana selain bernilai tinggi sebagai warisan seni Melayu, ia turut mempunyai potensi komersial besar.
“Program ini dilaksanakan dalam tiga fasa dalam tempoh 18 bulan, bermula dengan latihan asas di penjara sehingga peserta layak memohon pembiayaan mikro.
"Penerimaan masyarakat semakin positif apabila mereka menyaksikan sendiri kejayaan peserta yang mampu berdikari dan menyumbang kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata transformasi ini bukan sahaja mampu memecahkan stigma terhadap bekas banduan, malah membuka ruang kedua kepada mereka yang benar-benar ingin berubah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial