KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Jeritan meminta tolong masih terngiang-ngiang di telinga Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, empat hari lepas.
Berkongsi detik cemas itu, Tuan Muhammad Adham, 21, berkata dia berada di tempat duduk bahagian kanan di barisan ketiga daripada belakang dengan tiga rakan baiknya duduk selang beberapa kerusi daripadanya.
“Saya tengah tidur, bas bergerak laju atau tak, saya tak pasti. Masa nak terbalik, saya terjaga sekejap, saya dengar bunyi bising, sedar-sedar saya dah berada dalam longkang,” katanya ketika dihubungi Bernama Radio hari ini.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu itu yang mengalami kecederaan kemudian cuba keluar dari longkang dengan sisa tenaga yang ada sambil dibantu oleh mangsa yang lain.
“Lepas keluar dari longkang, baru saya nampak keadaan, ada mayat depan mata, ada yang menjerit minta tolong dan masih ada orang di dalam bas,” katanya.
Tuan Muhammad Adham berkata akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan patah pangkal lengan dan kini dirawat di Hospital Taiping, Perak.
Dua rakan baiknya pula meninggal dunia dalam kejadian itu, manakala seorang lagi cedera di bahagian bahu.
Pada awal pagi Isnin lepas, 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial