JERTIH, 18 Jun (Bernama) -- Bukan sahaja melihat, malah mendengar bunyi enjin bas dari jalan raya yang terletak tidak sampai 100 meter dari rumahnya pun sudah cukup untuk membuatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Ain Najwa Mohd Ilias berasa sesak nafas.
Gadis berusia 23 tahun yang juga seorang daripada mangsa yang cedera dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Gerik, Perak pada 9 Jun lepas itu masih tidak boleh melihat video atau gambar mana-mana bas di dalam telefon bimbitnya.
“Apatah lagi untuk saya menonton video kemalangan yang tular di media sosial itu. Memang sampai sekarang saya tidak boleh tengok video itu. Rasa sesak dada.
“Jadi, saya memang elak daripada tengok apa sahaja yang berkaitan dengan bas dan kemalangan itu. Kaunselor yang sedang merawat saya pun cakap kalau terlihat atau terdengar benda yang saya takut, saya perlu cepat alihkan perhatian dan selawat banyak-banyak serta buat aktiviti yang saya suka,” katanya sambil menyeka air mata.
Pelajar tahun dua Fakulti Bahasa dan Komunikasi itu ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Gong Kemuntong di sini hari ini, selepas dikunjungi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Nur Ain Najwa juga sehingga kini akan berasa takut sekiranya tinggal bersendirian dan perlu sentiasa ditemani ahli keluarga terutama ibunya Nani Hamid, 49, meskipun pada waktu siang kerana masih teringatkan kemalangan tragis itu.
Dia juga sentiasa terbayangkan saat sebelum bas bertolak di Masjid Hadhari di sini pada malam 8 Jun lepas kerana kebanyakan mangsa yang meninggal dunia itu kelihatan tersenyum ceria dan bergurau sesama mereka.
“Kebanyakan yang meninggal dunia adalah adik-adik junior saya. Saya masih ingat bagaimana mereka ceria dan berjenaka sesama sendiri sebelum bas bertolak.
“Saya yang patah bahu kiri dan terseliuh pergelangan tangan kanan pun dah rasa sakit sangat. Jadi, saya sering terfikir apa lah arwah adik-adik junior saya itu rasa semasa kemalangan itu. Saya sangat sedih kerana kami sama-sama pergi dengan gembira tetapi balik tidak bersama-sama,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti di Tanjung Malim, Perak terbalik sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di JRTB.
Nahas itu menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.
Anak kedua daripada enam beradik itu sebelum ini tular selepas menceritakan kesusahan keluarganya kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki ketika menziarahinya di Hospital Gerik, Perak baru-baru ini.
Melalui video yang dimuat naik oleh Asyraf Wajdi di akaun TikToknya, Nur Ain Najwa menceritakan adik-adiknya yang juga pasangan kembar iaitu Hassan dan Hussin, 22, sebelum ini terpaksa menolak tawaran menyambung pengajian ke universiti kerana ingin memberi laluan kepadanya belajar terlebih dahulu.
Dia berkata sejak ayahnya Mohd Ilias Mat Hussin meninggal dunia pada 2016 akibat penyakit kanser, kehidupan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan tidak seberapa ibunya yang menjual kuih.
Nur Ain Najwa bagaimanapun berkata kemalangan itu turut memberi hikmah buatnya sekeluarga apabila ramai pihak tampil menghulurkan bantuan dan menunjukkan keperihatinan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial