Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Usaha Ubah Pemikiran Pelajar TVET Ke Arah Teknousahawan - TPM Ahmad Zahid

12/06/2025 12:42 PM

MELAKA, 12 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan mencari kaedah bagi mengubah minda pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah menjadi teknousahawan pada masa hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata TVET menawarkan peluang cerah dalam sektor keusahawanan, dan sokongan kerajaan amat diperlukan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

"Terima kasih kepada ibu bapa yang semakin yakin dengan laluan pendidikan TVET ketika ini. Justeru, kita perlu mencari pendekatan baharu untuk mengubah pemikiran pelajar TVET agar mereka dapat menjadi teknousahawan.

"Setakat ini, institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah berjaya melahirkan 50 jutawan, antaranya usahawan paling berjaya yang mengeluarkan bateri kereta dan motosikal berjenama Bateriku.com," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ahmad Zahid berkata ketika Malaysia sedang mengorak langkah menjadi negara maju, keterangkuman semua pihak untuk guna tenaga perlu diselaraskan, khususnya bagi membantu golongan yang sering terpinggir daripada sistem pendidikan negara.

"Majlis TVET Negara bertanggungjawab mengambil inisiatif untuk melibatkan anak-anak huffaz dalam program TVET agar masa depan mereka dapat dibina dengan lebih baik.

"Antara kejayaan yang boleh dibanggakan ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang menerima pelajar huffaz ke Fakulti Aeroangkasa dan Fakulti Maritim, serta Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang mempunyai 550 pelajar huffaz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran dan mengikuti kursus kejuruteraan.

"Alhamdulillah sambutan cukup baik (daripada huffaz) dan kita mengalu-alukan kerjasama daripada mudir dan guru tahfiz untuk bersama-sama membina negara dengan memastikan masa depan anak-anak huffaz tidak dikompromi. Mereka terus menghafaz al-Quran dan dalam masa sama, turut menjadi jurutera,"

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan