PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melangkah setapak ke hadapan dalam memperkasa Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila melatih tenaga pengajar Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) untuk menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menterinya Hannah Yeoh berkata latihan dua hari yang bermula semalam itu dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta membabitkan Microsoft, Biji-Biji Initiative serta Mereka Academy, tanpa melibatkan sebarang kos.
"Tenaga pengajar ILKBS ini akan membimbing pelajar TVET untuk mendalami pengetahuan dalam bidang baharu. Projek ini juga menunjukkan penggunaan AI mampu menjimatkan lebih 88.9 peratus masa dalam penyediaan bahan pengajaran seperti pelan pembelajaran dan kuiz,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Microsoft AI For My Future di sini hari ini.
Beliau berkata maklum balas peserta turut menunjukkan bahawa penyediaan bahan pengajaran yang sebelum ini mengambil masa sehingga dua minggu, kini dapat disiapkan hanya dalam beberapa minit.
Hannah turut memaklumkan bahawa seramai 147 tenaga pengajar ILKBS mengikuti latihan berkenaan secara fizikal dan dalam talian, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah menyertai tiga siri latihan terdahulu kepada 287 orang.
“Usaha ini dijangka memberi manfaat langsung kepada lebih 30,000 pelajar ILKBS di seluruh negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Hannah berkata KBS merancang untuk memperluaskan inisiatif tersebut ke sektor sukan, termasuk memberi peluang kepada bekas atlet negara untuk mempelajari kemahiran baharu melalui kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
“Kita ada ramai bekas atlet yang sudah bersara dan tidak lagi aktif. Jika mereka didedahkan kepada kemahiran seperti AI, mungkin mereka mampu menyumbang semula berdasarkan kepakaran dan pengalaman masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial