KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Pengamal media diingatkan agar tidak terburu-buru menghasilkan berita sehingga mengabaikan proses semakan fakta, kata Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Beliau berkata pengamal media juga tidak seharusnya terikut-ikut dengan warganet yang sering menularkan maklumat tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihannya.
Sebaliknya, beliau berkata pengamal media, khususnya media arus perdana, perlu terus mengekalkan amalan semakan fakta yang telah lama menjadi sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) dalam penghasilan sesuatu berita.
“Sebelum menghasilkan berita, wartawan perlu menyemak fakta dan mendapatkan latar belakang berkaitan. Setelah berita ditulis, ia perlu disemak semula dan dihantar kepada editor. Sekiranya terdapat kekurangan, editor akan menyemak semula dengan wartawan sebelum diserahkan kepada penyunting. Penyunting pula akan membuat semakan terakhir sebelum berita disiarkan kepada pelanggan atau dimuat naik ke portal untuk bacaan umum.
“Sebab itu media arus perdana mempunyai kelebihan, kerana kita sudah lama mengamalkan proses ini sebagai SOP,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk ‘Transformasi Dunia Kewartawanan’ terbitan Bernama TV, hari ini.
Mengulas lanjut, Arul Rajoo berkata pengamal media juga tidak seharusnya tunduk kepada desakan pelanggan atau tekanan untuk bersaing dengan warganet semata-mata mahu menyiarkan berita dengan pantas tanpa melalui proses semakan fakta.
“Walaupun ada tekanan daripada pembaca atau majikan untuk menyiarkan berita dengan cepat, wartawan, jurufoto dan penerbit perlu memastikan setiap laporan menjalani proses semakan yang teliti. Apabila berita tersiar dan terdapat kesilapan, sukar untuk kita menarik balik,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pengamal media tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kecerdasan buatan (AI) kerana teknologi tersebut masih belum matang dan terdedah kepada kesilapan.
“AI masih dalam proses pembelajaran. Ia akan memproses berdasarkan data yang kita masukkan, dan sekiranya input itu tidak tepat, maka hasilnya juga tidak akan lengkap. Oleh itu, kita perlu teruskan proses semakan sedia ada yang telah lama diamalkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui penggunaan AI amat membantu dalam memudahkan operasi media, khususnya dalam pelaksanaan pelbagai tugasan serentak yang kini menjadi norma dalam industri.
“Dahulu, wartawan hanya menulis laporan, tetapi kini mereka turut mengambil gambar, merakam video, kadangkala mengedit dan terus menghantar bahan ke ibu pejabat. Dalam situasi ini, AI memainkan peranan membantu mempercepatkan proses tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial