KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Penonton bakal disajikan rancangan yang mencetuskan gelombang inspirasi apabila Malaysia Book of Records (MBOR) bekerjasama dengan BERNAMA TV untuk menayangkan siri televisyen baharu sebanyak 13 episod bertajuk "Malaysia Book of Records 2025: Malaysia Luar Biasa."
Program yang akan bersiaran setiap Selasa pada 8.30 malam bermula Ogos itu bakal menampilkan individu serta organisasi yang mencipta rekod dan membawa penonton mengenali lebih dekat pencapaian luar biasa rakyat, serta jenama terkenal Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Christopher Wong berkata dengan membawkan slogan "Malaysia Luar Biasa," setiap episod bakal mengetengahkan dua hingga tiga rekod yang dicipta, merangkumi kejayaan individu sehinggalah pencapaian di peringkat kebangsaan sekali gus membuktikan semangat dan disiplin rakyat Malaysia.
“Siri itu bukan semata-mata tentang meraikan rekod yang dicipta malah sebagai menghargai semangat, bakat, dan ketabahan rakyat Malaysia. Penonton berpeluang menyelami kisah keberanian, kreativiti dan keazaman, membuktikan bahawa kejayaan mampu dicapai oleh sesiapa sahaja, walau di mana mereka berada,” kata Christopher kepada pemberita selepas majlis pelancaran rasmi siri berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dan Pengerusi MBOR Datuk Seri Dr Michael Tio.
Christopher berkata walaupun sebelum ini MBOR pernah menghasilkan kandungan televisyen, siri baharu itu kembali menemui penonton dengan pendekatan lebih menarik setelah sekian lama tidak bersiaran.
Inisiatif itu dirancang pada awal tahun ini bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap MBOR serta menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia berazam melakar rekod tersendiri.
Christopher berkata sepanjang 13 episod, siri itu dijangka memaparkan antara 30 hingga 40 rekod merangkumi pencapaian korporat, usaha komuniti dan kejayaan individu sekali gus mencerminkan kepelbagaian masyarakat di negara ini.
Lebih menarik, Christopher berkata pelancaran itu bertepatan dengan ulang tahun ke-30 MBOR yang mengiktiraf 8,000 rekod sejak ditubuhkan pada 1995.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penyertaan semakin meningkat, terutamanya daripada PKS dan jenama tempatan yang menganggap penciptaan rekod sebagai satu strategi penjenamaan yang unik. Daripada pengeluar kopi terbesar sehinggalah kedai nasi lemak yang menjual bungkusan terbanyak, setiap rekod ini lebih daripada sekadar angka – ia kisah impian, jati diri, dan kebanggaan,” katanya.
Sementara itu, Chun Wai memuji kerjasama berkenaan sambil menekankan kepentingan usaha menyebarkan berita positif dalam era yang dipenuhi dengan naratif negatif.
“Algoritma media sosial cenderung memaparkan kandungan yang membangkitkan kemarahan dan perpecahan. Sebaliknya, siri berkenaan mengetengahkan pendekatan berbeza yakni ke arah menyemai perpaduan, optimisme dan memacu kemajuan.
“Tatkala negara menghampiri sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, inilah masa yang paling sesuai untuk merenung kembali sejauh mana pencapaian kita. Kisah-kisah dalam siri ini akan menyuntik inspirasi kepada rakyat dan membuktikan bahawa kecemerlangan mampu dicapai oleh sesiapa sahaja,” katanya.
Sementara itu, atlet pelari menara negara Soh Wai Ching yang akan ditengahkan menerusi siri berkenaan, berhasrat mencipta rekod baharu dunia menerusi cabaran mendaki tangga selama sejam tanpa henti pada 19 Julai ini di pusat beli-belah One Utama di Bandar Utama, Damansara di sini.
Soh yang pernah mencatat rekod dunia pada 2020 dengan mendaki tangga sejauh 1.295 kilometer (km) dalam masa sejam, kini menyasarkan untuk melepasi jarak itu dengan catatan baharu, iaitu 1.710 km yang bersamaan dengan tiga kali ketinggian Menara Merdeka 118.
“Latihan intensif akan bermula pada minggu hadapan, sekurang-kurangnya sebulan apabila saya sudah mendapat mesin tangga khas yang diperlukan.
“Mesin tangga ini berlainan daripada mesin biasa sebab tiada pemegang tangan. Jadi itu mencabar kerana saya bergantung pada kaki sahaja untuk mengimbangi badan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial