Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kemahiran Bahasa Ketiga Tambah Nilai, Perkukuh Keupayaan Laporan Rentas Budaya Pengamal Media

10/06/2025 08:47 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Dalam era digital tanpa sempadan, termasuk kewujudan pelbagai aplikasi terjemahan berasaskan kecerdasan buatan (AI), penguasaan bahasa ketiga merupakan satu kelebihan terutama bagi pengamal media untuk melaporkan berita bersifat pelbagai dimensi dan merentas budaya.

Bagi wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) khususnya yang bukan daripada kaum Cina, kemahiran berbahasa Mandarin menjadi nilai tambah penting, lebih-lebih lagi kerana Mandarin dituturkan lebih 1.3 bilion orang di seluruh dunia dan merupakan bahasa kedua paling banyak digunakan secara global.

Pegawai berita Bernama Ahmad Erwan Othman, 38, yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ketari, Bentong, Pahang berkata pengalaman membesar dalam komuniti Tionghua membantunya menguasai bahasa tersebut yang ternyata memberi manfaat besar dalam kerjaya kewartawanannya.

“Saya boleh membaca, menulis dan bertutur dalam Mandarin serta Kantonis. Kadang-kadang sumber beri dokumen atau kenyataan dalam bahasa Cina, saya masih boleh faham dan kemudian olah untuk dijadikan laporan berita,” katanya yang sudah berkhidmat selama 14 tahun.

Ahmad Erwan berkata kemahiran itu turut meningkatkan keyakinan diri dalam situasi mendesak seperti sidang media atau temu bual eksklusif dengan individu atau tokoh yang lebih selesa menggunakan bahasa ibunda masing-masing, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi AI.

Sementara itu, wartawan Nur Natasha Aida Ismail, 38, yang mahir berbahasa Mandarin hasil pendidikan awal di SJKC Chong Hwa, Setapak berkata kelebihan itu membolehkannya berkomunikasi secara langsung dengan sumber tanpa perlu bergantung kepada penterjemah.

“Ada kalanya saya diminta membuat liputan berkaitan komuniti Cina. Bila saya tunjukkan kemampuan bertutur dalam bahasa mereka, walaupun ada ayat yang saya terlupa, proses temu bual jadi lebih mudah dan mereka lebih selesa serta terbuka untuk berkongsi maklumat,” katanya.

Menurutnya, kefasihan dalam bahasa ketiga itu turut membantunya memahami konteks budaya, pantang larang dan latar belakang masyarakat Cina, menjadikan laporan yang disampaikan lebih tepat dan menyeluruh.

“Saya percaya, dengan memahami budaya bangsa lain, ia bukan sahaja memudahkan kita mengarang berita, malah menjadi antara langkah utama ke arah membentuk keharmonian antara kaum serta sebagai pemangkin integrasi nasional menerusi penulisan berita,” katanya.

Bagi Penyunting Berita Meja Bahasa Melayu Bernama Rafe'aton Md Ali, 54, yang fasih berbahasa Mandarin pula berkata beliau akan mengambil peluang bertutur dalam bahasa itu bersama rakan sekerja berbangsa Tionghua atau Melayu yang turut menguasainya bagi mengekalkan kelancaran dan kefasihan bahasa ketiga tersebut.

Berpengalaman hampir 30 tahun di Bernama, Rafe'aton berkata sebagai penyunting dan wartawan yang tidak lagi turun padang, beliau gemar menyunting berita atau artikel berkaitan budaya dan latar belakang masyarakat Tionghua kerana ia memberi nilai tambah kepada laporan yang disiarkan.

“Ini minat saya. Bila kita gabungkan pengalaman hidup masa kecil yang rapat dengan komuniti Tionghua dengan kerjaya kewartawanan, hasil suntingan berita akan lebih mantap, Insya-Allah,” katanya yang mendapat pendidikan awal di SJKC Yuk Chai, Kuala Krai, Kelantan.

Jurufoto Bernama Nur Shazreen Zamzuri, 31, pula berkata selain mengambil gambar, beliau juga perlu berinteraksi dengan orang ramai untuk mendapatkan gaya, posisi subjek dan maklumat tambahan ketika bertugas di lapangan.

Mendapat pendidikan sehingga Tahun Enam di SJKC Batu 14, Hulu Langat, Selangor, beliau yang lebih mesra disapa E’en berkata, kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Mandarin banyak membantu ketika membuat liputan, termasuk memahami kandungan visual dan teks.

Sebagai usaha memperkasa kemahiran bahasa Mandarin dalam kalangan petugas, Pusat Kecemerlangan Bernama menganjurkan Kursus Mandarin for Beginners selama empat bulan pada tahun lepas, melibatkan 25 peserta daripada pelbagai jabatan.

Kursus selama dua jam setiap minggu itu, yang dikendalikan oleh Kunkwan Sdn Bhd (Pusat Latihan Mandarin Antarabangsa), membolehkan petugas Bernama berinteraksi dengan media berbahasa Mandarin serta memperoleh sumber berita yang lebih meluas.

Sementara itu, selari dengan perkembangan AI, sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 mengangkat tema "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika" dengan kemuncak sambutan akan berlangsung pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka hadir ke kemuncak sambutan HAWANA 2025 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan BERNAMA sebagai agensi pelaksana bertujuan meraikan peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan