ALOR SETAR, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak 25 pengamal media di zon utara mengikuti latihan kemahiran dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Al-Powered Content Creation & Editorial Automation yang dikendalikan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Pengurus Pusat Kecemerlangan Bernama Ridzuan Mond Ghazali berkata pengamal media terbabit terdiri daripada petugas tetap dan pemberita sambilan (stringer) dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
“Fokus latihan adalah penciptaan kandungan menggunakan teknologi Al dan pendedahan tentang bagaimana teknologi Al dapat membantu pengamal media menghasilkan pelaporan berita yang lebih kreatif dengan kaedah lebih mudah.
“Latihan kali ini yang keenam dikendalikan Bernama dan selepas ini kursus sama akan diadakan di Johor bagi memberi peluang lebih ramai pengamal media untuk mempelajari bidang itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata latihan selama dua hari bermula semalam itu diadakan di bawah program Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Sebelum ini, latihan berkenaan turut diadakan Kuala Lumpur, Cyberjaya, Sarawak, Sabah dan Terengganu.
Sementara itu, seorang daripada peserta Adie Suri Zulkefli dari New Straits Times berkata latihan berkenaan sangat bertepatan dengan keperluan pengamal media dalam menghadapi perubahan teknologi hari ini.
Beliau berkata ia memberi pendedahan kepada pengamal media mengenai manfaat AI, khususnya dalam membantu mencipta kandungan dan penghasilan berita yang lebih pantas dan bermutu.
“Melalui kursus ini kami mempelajari secara mendalam aplikasi AI yang boleh diguna pakai untuk penghasilan bahan berita berbanding sebelum ini yang sekadar digunakan untuk terjemahan dan membetulkan tatabahasa,” katanya.
Bagi Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor dari Sinar Harian, kursus AI berkenaan sangat diperlukan oleh semua wartawan untuk menghadapi cabaran semasa yang memerlukan kemudahan teknologi berkenaan.
“Saya berharap pihak Bernama boleh mengadakan lagi kursus seperti ini pada masa akan datang untuk membantu pengamal media mendalami lagi ilmu tentang AI kerana tempoh masa latihan yang diadakan hari ini tidak cukup,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial