Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MBDK Rangka Pendekatan Bersepadu Tangani Isu Kebersihan Di Klang

01/06/2025 06:40 PM

PELABUHAN KLANG, 1 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) merangka pelbagai pendekatan bersepadu dalam menangani isu kebersihan khususnya membabitkan kawasan berisiko tinggi seperti muara Sungai Klang. 

Datuk Bandar MBDK Datuk Abd Hamid Hussain berkata antara pendekatan yang diambil ialah penubuhan Jawatankuasa Kerja Kebersihan Daerah Klang bagi menyusun strategi pembersihan, memperkukuh penguatkuasaan dan menggalakkan penyertaan komuniti dalam inisiatif berkaitan. 

Beliau berkata pihaknya memberi penekanan khusus terhadap kawasan utama di jalan protokol, pusat bandar, kawasan pelancongan, jalan utama, Port Klang Cruise Terminal dan pesisir sungai.

"Pelan tindakan kebersihan jangka pendek juga dirangka untuk memperkukuh pelaksanaan program pembersihan yang lebih tersusun dan berfokus merangkumi pemantauan, pendidikan, penguatkuasaan dan kolaborasi antara agensi kerajaan mahupun swasta," katanya ketika ditemui pada Program Pembersihan Sungai di Royal Selangor Yacht Club Bersama Datuk Bandar MBDK di sini hari ini. 

Beliau berkata cadangan pembersihan Sungai Klang 2025 turut dilaksanakan secara berfasa menerusi inisiatif pemasangan jaring perangkap sampah di kawasan pesisir sungai, pemasangan log boom di longkang monsun dan penggunaan teknologi pembersihan permukaan air secara automatik.

"Anggaran kos keseluruhan bagi pelaksanaan projek-projek berkenaan adalah lebih RM4 juta termasuk penyelenggaraan berkala selama beberapa bulan, sekali gus membuktikan komitmen MBDK terhadap kebersihan jangka panjang.

"MBDK turut memperuntukkan hampir RM100 juta setiap tahun bagi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di daerah Klang, namun kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi amanah kolektif yang harus dipikul bersama," katanya.

Mengenai program hari ini Abd Hamid berkata ia merupakan antara komitmen MBDK dalam menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sarafuddin Idris Shah supaya tahap kebersihan di daerah berkenaan ditingkatkan terutamanya di kawasan muara sungai. 

Beliau berkata lokasi sekitar Royal Selangor Yacht Club dipilih kerana ia merupakan titik akhir Sungai Klang sebelum Selat Melaka yang sebelum ini dicemari dengan pelbagai jenis bahan buangan.

Program berkenaan menyaksikan penyertaan 500 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan negeri, persatuan nelayan dan badan bukan kerajaan (NGO) bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar muara Sungai Klang menggunakan 30 sampan meliputi jajaran sejauh 22 kilometer.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan