KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Pelbagai bentuk bantuan telah digerakkan melalui pelan tindakan dan pendekatan menyeluruh bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan penduduk di Parlimen Sungai Buloh.
Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan berkata antara yang dilaksanakan adalah program bakul makanan asas, khidmat kesihatan percuma, baik pulih rumah, bantuan bencana, sokongan kepada rumah ibadat dan inisiatif pendidikan.
“Tugas seorang wakil rakyat bukan sekadar di Dewan Rakyat tetapi berada di tengah-tengah masyarakat, mendengar denyut nadi mereka dan bertindak secara langsung. Inilah tanggungjawab yang saya pikul di Sungai Buloh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Hospital UiTM Sungai Buloh menerusi kerjasama antara Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini hari ini.
Sumbangan berkenaan disalurkan di bawah inisiatif “Ikhlas Sungai Buloh” yang dilaksanakan dengan sokongan serta kerjasama melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SKM.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata program CSR seperti itu perlu diteruskan bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Ia bukan sahaja meringankan beban pesakit, malah menjadi simbol solidariti kita terhadap usaha murni barisan hadapan,” katanya.
Pada majlis itu, Ramanan turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada petugas barisan hadapan perubatan sebagai tanda penghargaan serta sokongan moral kepada mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial