Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Menteri Kabinet Ucap Selamat Hari Wartawan Nasional

29/05/2025 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini, Jemaah Menteri merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas jasa dan pengorbanan mereka yang sentiasa berpegang teguh kepada etika kewartawanan dalam menyampaikan berita.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalannya Datuk Mustapha Sakmud dalam hantaran di laman Facebook rasmi kementerian itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua wartawan atas jasa, pengorbanan dan integriti yang ditunjukkan serta setiap hela nafas dalam mencari kebenaran.

“Hari ini kita raikan wartawan antara nadi informasi negara! Hari yang merupakan penghargaan buat insan-insan yang berdedikasi dalam menyampaikan berita dan maklumat kepada masyarakat dengan pantas, tepat dan beretika. Kalian adalah mata, telinga dan pena yang membentuk kesedaran masyarakat.

“Wartawan bukan sekadar melapor tetapi mencorak pemikiran, mempertahankan kebenaran dan membentuk pandangan awam serta memperkukuh demokrasi. Dalam dunia penuh maklumat pantas dan cabaran etika, keberanian dan integriti wartawan menjadi benteng utama menentang penyelewengan dan berita palsu,” katanya.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalannya K Saraswathy dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Mohamad Sobri Mat Daud menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengamal media kerana terus komited menjalankan tugasan menyampaikan maklumat dan berita kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pengurusan Tertinggi serta Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi laman Facebook rasmi turut mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional.

Ad Banner

“Setinggi-tinggi penghargaan buat semua pengamal media yang menjadi tunjang dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat.

“Kalian adalah wira tak didendang yang sentiasa berada di barisan hadapan, walau berdepan pelbagai cabaran dan risiko. Terima kasih atas dedikasi dan sumbangan dalam membentuk pemikiran rakyat serta memperkukuh perpaduan negara,” katanya.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut menyatakan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat tepat, pantas dan berintegriti kepada rakyat.

“Dedikasi anda menghubungkan suara rakyat dengan pemegang dasar amat kami hargai. Teruskan perjuangan membina masyarakat yang maklum, peka dan celik informasi,” menurut KESUMA.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup 9KPDN) menyifatkan pengamal media bukan hanya penyampai berita tetapi merupakan nadi utama kementerian dalam menyampaikan informasi telus, terkini dan berintegriti bagi memperkukuh kepercayaan awam serta memelihara keharmonian masyarakat.

“Teruslah menulis dengan hati, melapor dengan jujur dan berkarya demi negara,” menurut KPDN.

Jabatan Penerangan menerusi Facebook turut mengucapkan terima kasih kepada semua wartawan dan pengamal media yang sentiasa cekal menyampaikan kebenaran serta membentuk naratif negara.

Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara, termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan