KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menyeru rakyat untuk bersama-sama terus mempertahankan keharmonian dalam kepelbagaian, memperkukuh jalinan persaudaraan dan memelihara perpaduan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada seluruh masyarakat Kadazan Dusun, Murut dan Rungus, khususnya di Sabah yang meraikan perayaan pesta menuai itu pada 30 dan 31 Mei ini.
Menerusi hantaran Facebooknya, beliau berkata seperti juga perayaan lain, Pesta Kaamatan ialah manifestasi kepada kepelbagaian kaum dan kekayaan budaya masyarakat di Malaysia yang hidup aman harmoni tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.
“Dengan tema 'Kaamatan Untuk Semua', raikanlah Pesta Kaamatan dengan penuh kegembiraan, eratkan lagi silaturahim dan syukurilah rezeki serta hasil tuaian yang baik.
“Semoga tuaian padi pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang akan terus melimpah, membawa bersama kebaikan, kejayaan dan kemakmuran kepada semua.
“Selamat Menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Tidak ketinggalan menzahirkan ucapan menerusi platform sama ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berharap agar musim perayaan ini membawa keceriaan, kasih sayang dan rezeki yang melimpah untuk semua.
“Selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada semua sahabat dan keluarga yang berada di Sabah dan Sarawak.
“Kedua-dua perayaan ini mencerminkan kekayaan budaya, adat dan tradisi serta menjadi simbol keharmonian dalam kepelbagaian rakyat Malaysia.
“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai!” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial