Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jadual KTM Komuter, ETS Alami Perubahan Sementara Bermula Sabtu Ini

28/05/2025 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kerja-kerja menaik taraf sistem semboyan di laluan antara Stesen Kepong hingga Stesen Salak Selatan selama tiga hari akan bermula Sabtu ini hingga 2 Jun, demikian menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh pelaksanaan itu, perkhidmatan tren KTM Komuter Lembah Klang dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) akan mengalami perubahan jadual waktu sementara.

Perkhidmatan KTM Komuter laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang dan Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim serta perkhidmatan ETS dijangka mengalami kelewatan hingga 50 minit daripada jadual asal.

Selain itu, dua perkhidmatan ETS, iaitu EG9425 (Padang Besar-Segamat) dan EG9321 (Butterworth-Segamat) akan mengalami perubahan platform di Stesen KL Sentral dan Stesen Kuala Lumpur pada 31 Mei sahaja.

“Pegawai bertugas akan ditempatkan di stesen bagi mengiringi dan membantu para penumpang ke platform,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, KTMB menangguhkan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf itu bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan tren di Lembah Klang sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung dari 23 Mei hingga hari ini. 

Penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira penutupan beberapa jalan utama di sekitar Lembah Klang serta saranan kerajaan supaya orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Sehubungan dengan itu, KTMB menasihati semua penumpang merancang perjalanan lebih awal serta menyemak jadual perjalanan di MyRailtime melalui aplikasi KTMB Mobile

“Para penumpang juga dinasihatkan sentiasa peka terhadap pengumuman di stesen serta hebahan melalui saluran rasmi media sosial KTMB.

“Khidmat pesanan ringkas (SMS) juga akan dihantar kepada penumpang ETS yang terjejas sebagai notifikasi awal mengenai kelewatan yang mungkin berlaku,” menurut kenyataan itu.

KTMB amat menghargai kesabaran serta sokongan berterusan semua pengguna sepanjang pelaksanaan kerja-kerja naik taraf itu, dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media rasmi KTMB atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 03-9779 1200.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan