Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemimpin ASEAN Mahu Pegawai Pantau Risiko Alihan Perdagangan Ekoran Ketidaktentuan Global

28/05/2025 12:50 AM

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Pemimpin ASEAN, menerusi respons bersama terhadap ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan global yang semakin ketara, menugaskan kalangan pegawai berkaitan supaya memantau risiko pengalihan perdagangan di samping bekerjasama secara konstruktif dengan rakan sekutu menerusi platform sedia ada.

Menurut Kenyataan Pemimpin ASEAN yang dikeluarkan pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, negara anggota mengulangi komitmen untuk menyelesaikan isu perdagangan melalui dialog dan rundingan aman berlandaskan saling hormat-menghormati dan undang-undang antarabangsa, selaras dengan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara.

“Sehubungan itu, kami mengulangi komitmen ASEAN terhadap perpaduan serantau, kestabilan ekonomi dan kerjasama praktikal dalam menghadapi cabaran luar,” menurut kenyataan itu.

Kalangan pemimpin ASEAN, berkumpul di sini pada 26 dan 27 Mei 2025, memperakui peningkatan tindakan unilateral seperti tarif dan sekatan perdagangan, serta risiko pemecahan ekonomi global yang semakin meningkat.

Mereka juga menegaskan keazaman mendalam ASEAN untuk melindungi kestabilan ekonomi serantau, daya tahan dan pertumbuhan jangka masa panjang di samping menolak sifat tindakan perdagangan balas yang tidak produktif dan boleh menjejaskan lagi ekonomi ASEAN.

Ad Banner

Menerusi gesaan tindakan bersama, pemimpin ASEAN telah menetapkan beberapa komitmen, bermula dengan melonjakkan perdagangan dan pelaburan dalaman ASEAN.

Usaha itu merangkumi langkah mempercepat inisiatif penting seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), yang bertujuan meningkatkan keyakinan dan daya saing perniagaan.

Blok ini turut komited untuk memodenkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN+1 dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), di samping memperhebat kerjasama ekonomi dengan rakan sedia ada dan baharu.

Ini termasuk hubungan antara rantau seperti dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Kami bertekad untuk memastikan kedudukan ASEAN sebagai hab perdagangan dan pelaburan global yang dinamik dan berpandangan jauh,” kata pemimpin ASEAN.

Di peringkat dalaman, ASEAN komited untuk memperkemas penyelarasan dengan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme rentas sektor dan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN yang baharu ditubuhkan.

Menteri-menteri berkaitan telah diberi tanggungjawab untuk memantau rapat keadaan ekonomi global dan menyelaras tindak balas strategik di seluruh ASEAN.

Menurut kenyataan itu, pemimpin ASEAN menyatakan langkah domestik bersasar perlu dilaksanakan  dalam menguruskan kesan serta merta akibat tarif yang tinggi, termasuk perlindungan bagi menyokong industri serta golongan pekerja rentan.

ASEAN juga mahu bersedia untuk menghadapi perubahan masa depan yang mendorong inovasi dan daya saing tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Blok ini sekali lagi menegaskan sokongan teguh terhadap sistem perdagangan multilateral, dengan menekankan kepentingan perdagangan yang saksama, inklusif dan berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai teras.

“ASEAN menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan anggota WTO dalam usaha melaksanakan pembaharuan dan mengekalkan sistem yang telus serta mampu mengatasi cabaran masa kini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, memandangkan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 hampir selesai, para pemimpin berikrar untuk memajukan Visi Komuniti ASEAN 2045 dengan memanfaatkan integrasi ekonomi bagi memperkukuh daya tahan dan menghadapi gangguan luar seperti tindakan perdagangan unilateral.

Para pemimpin turut menegaskan kembali Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) sebagai rangka kerja panduan untuk rantau ini menjalinkan kerjasama, dengan penekanan terhadap Kesatuan ASEAN, keterbukaan dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

“Ketika kita menghampiri ulang tahun ASEAN ke-60 pada 2027, Perpaduan dan Kesatuan ASEAN kekal sebagai asas utama bagi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” menurut para pemimpin.

Meskipun menghadapi ketidaktentuan global, ASEAN tetap komited menjadi rakan ekonomi yang boleh dipercayai untuk semua, serta terus berusaha memperkukuh integrasi, mempererat hubungan sedia ada dan menempa kerjasama ekonomi baharu berasaskan nilai bersama dan kemakmuran bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan