KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Pemimpin ASEAN telah menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur Sempena Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan Komuniti ASEAN, dengan komitmen untuk terus bekerjasama dalam mengekalkan serta mempromosikan keamanan, keselamatan dan kestabilan, selain memperkukuh pembangunan serta pertumbuhan di rantau ini.
Komitmen ini bertujuan memastikan Komuniti ASEAN terus berkembang maju, serta kekal tangkas dan responsif terhadap kesan serta peluang daripada megatrend semasa dan akan datang, menurut deklarasi yang diterima pakai sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 semalam.
Deklarasi yang dikongsikan kepada media hari ini turut menyatakan persetujuan para pemimpin untuk mempergiat usaha mempertahankan kepusatan ASEAN, serta mengekalkan seni bina serantau berasaskan ASEAN yang terbuka, inklusif, telus, berdaya tahan dan berteraskan peraturan, selaras dengan undang-undang antarabangsa menerusi mekanisme yang dipimpin ASEAN.
Para pemimpin turut menegaskan komitmen untuk memperluas dan memperdalam kerjasama dengan rakan luar ASEAN, termasuk meneroka kerjasama dengan pihak berkepentingan lain.
Ini termasuk pelaksanaan kerjasama substantif, praktikal dan nyata dalam empat bidang keutamaan di bawah Tinjauan ASEAN Mengenai Indo-Pasifik (AOIP) melalui mekanisme yang diterajui ASEAN.
Menurut deklarasi itu, pemimpin ASEAN berikrar untuk terus memacu kemajuan rantau ini dengan memperkukuh pematuhan terhadap prinsip serta komitmen bersama ASEAN, meningkatkan keupayaan institusi, memperhebat penyelarasan merentasi tonggak dan sektor, serta bertindak proaktif terhadap cabaran dan peluang yang muncul.
Mereka turut bersetuju untuk menggandakan usaha memperkukuh Kesalinghubungan ASEAN, termasuk memajukan Grid Tenaga ASEAN, penyambungan tenaga serta perdagangan tenaga pelbagai hala, selain merapatkan jurang pembangunan melalui akses ekonomi dan sosiobudaya yang inklusif, penyertaan menyeluruh dan saksama.
Pemimpin ASEAN juga bersetuju memupuk jati diri ASEAN yang lebih kukuh dan mempererat hubungan antara rakyat melalui pendidikan, pertukaran budaya dan kerjasama sosial.
Mereka komited untuk terus meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk ASEAN tanpa mengecualikan sesiapa, menerusi pengukuhan perlindungan sosial, peningkatan tahap kesihatan dan pemakanan, pemerkasaan pembangunan inklusif dan mampan, serta pemajuan pendidikan berkualiti dan pembangunan kemahiran demi melahirkan tenaga kerja ASEAN yang bersedia menghadapi masa depan.
Para pemimpin turut mengulangi komitmen mereka untuk terus memperdalam dan meluaskan kerjasama dengan rakan luar ASEAN serta meneroka potensi kerjasama dengan pihak berkepentingan lain.
Para pemimpin turut bersetuju untuk terus mengintegrasikan pengajaran daripada pelaksanaan ASEAN 2025: Melangkah Bersama Ke Hadapan, dalam usaha merealisasikan ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama bagi memantapkan lagi usaha pembinaan Komuniti ASEAN dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penubuhan Komuniti ASEAN yang diterima pakai pada 2015 telah memperkukuh proses integrasi ASEAN dengan menjamin keamanan, keselamatan dan daya tahan yang berkekalan di rantau ini, memacu ekonomi bersepadu dan padu, serta memupuk identiti bersama dalam kalangan rakyat ASEAN.
Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei, sempena Kepengerusian ASEAN 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Sidang kemuncak ini turut menyaksikan penyertaan pemimpin ASEAN dan wakil rakan dialog utama dalam dua mesyuarat peringkat tinggi iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, bertujuan mengembangkan kerjasama serantau dan antara rantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial