Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kepengerusian ASEAN Malaysia Dipuji, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 Berakhir Dengan Gemilang

27/05/2025 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan telah sampai ke penghujungnya malam ini, dengan pemimpin pelbagai negara yang hadir terlibat dalam perbincangan strategik bagi memajukan integrasi serantau dan meneruskan diplomasi peringkat tinggi untuk menangani masalah yang dihadapi di rantau ini termasuk krisis di Myanmar. 

Dalam perbincangan yang merangkumi pelbagai isu, pemimpin-pemimpin ASEAN memuji Perdana Menteri Datuk seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan bijak beliau sebagai Pengerusi ASEAN untuk 2025. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan dipuji bukan sahaja oleh rakan pemimpin ASEAN, tetapi rakan sejawatannya dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, kerana mengetuai rundingan sidang kemuncak ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2, dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya.

Sidang kemuncak itu juga menjadi platform bagi ASEAN untuk melanjutkan penglibatannya melangkaui perkara dalaman. Para pemimpin mengambil kesempatan untuk membincangkan kesan buruk daripada pengenaan tarif Amerika Syarikat ke atas 168 negara, termasuk ke atas anggota ASEAN. 

Bagi mengatasi kesan buruk levi import oleh Amerika Syarikat, mereka bersetuju untuk meningkatkan daya tahan serantau dengan memanfaatkan kekuatan satu sama lain, dan memperkukuhkan ekonomi mereka melalui perdagangan dan pelaburan yang lebih besar dan membentuk hubungan komersial dengan kumpulan lain.

“Pada 2023 GCC merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah perdagangan mencecah USD130.7 bilion manakala pelaburan juga berkembang, mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang kita,” kata Anwar dalam ucapan pembukaannya semasa sidang kemuncak ASEAN-GCC. 

Ad Banner

Satu lagi pencapaian hebat pada sidang kemuncak ASEAN ini ialah penerimaan "Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama" yang menggariskan visi jangka panjang blok itu untuk ASEAN yang berdaya tahan, inklusif dan berpaksikan rakyat. 

"Pengisytiharan ini adalah titik permulaan yang penting dalam perjalanan ASEAN. Integrasi serantau mestilah berpaksikan rakyat yang tulen - ini bermakna merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup, dan melabur dalam potensi manusia, seluruh rakyat kita," kata Perdana Menteri dalam ucaptamanya.

Bagi menyokong wawasan itu, Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026–2030 turut diterima pakai. Ia menggariskan enam matlamat strategik, 44 objektif dan 192 langkah, direka untuk memacu integrasi dan membina daya tahan terhadap kejutan luaran.

Di luar geopolitik dan strategi ekonomi, pemimpin ASEAN turut menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Tan Sri Dr Johari Abdul dilaporkan berkata blok itu tidak berdiam diri dalam isu penderitaan penduduk Palestin di Gaza.

"Kami menggesa agar keganasan di Gaza dihentikan, wujudkan gencatan senjata, bantuan kemanusiaan tanpa halangan, dan penamatan genosid. Ini adalah konsensus dalam kalangan semua pemimpin ASEAN," katanya sebagai menjawab kritikan yang mendakwa tidak banyak tindakan dilaksanakan.

Sidang kemuncak itu juga mengesahkan sokongan ASEAN untuk keahlian penuh Timor-Leste, mungkin menjelang Oktober ini, mengiktiraf kemajuan berterusan negara itu dalam melaksanakan pelan hala tujunya.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto turut menyatakan sokongan terhadap aspirasi Papua New Guinea untuk menyertai blok itu pada masa hadapan.

Sementara itu Menteri-menteri Ekonomi ASEAN memuktamadkan rundingan bagi peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang disemak semula, yang kedua-duanya dijangka ditandatangani pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur Oktober ini. 

“Pencapaian ini akan berfungsi sebagai pelaksana penting bagi pertumbuhan mampan dan daya saing ASEAN,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selepas pakatan ditandatangani.

Sementara itu Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. menekankan peranan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dalam merapatkan jurang pembangunan, khususnya dalam perhubungan, perdagangan, keselamatan tenaga dan pembangunan hijau. 

Menteri-menteri Luar ASEAN juga menerima pakai draf Adendum kepada Perjanjian mengenai Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam proses penyertaan Timor-Leste.

Mereka juga menerima pakai Garis Panduan untuk Memudahkan Penyertaan Timor-Leste kepada Instrumen dan Perjanjian Perundangan ASEAN, menggariskan komitmen ASEAN untuk menyokong keahlian penuh negara itu.

Dalam langkah penting untuk kerjasama tenaga serantau, syarikat tenaga dari Malaysia, Singapura dan Vietnam menandatangani perjanjian pembangunan bersama untuk meneroka eksport elektrik boleh diperbaharui dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura. 

Perjanjian itu menandakan komitmen yang semakin meningkat kepada penyepaduan kuasa serantau dan penyahkarbonan melalui penyelesaian yang berdaya maju secara komersial.

Selain itu Malaysia, Indonesia dan Thailand menandatangani Rangka Kerja Kerjasama (FoC) dalam Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di bawah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Ditandatangani di luar Sidang Kemuncak, FoC bertujuan untuk menyelaraskan pergerakan rentas sempadan barangan dan orang ramai dengan mempromosikan prosedur yang cekap dan mesra perniagaan.

Bagi krisis di Myanmar, perlu diingatkan bahawa kerja-kerja asas lebih awal telah pun dibuat oleh Anwar, yang mengadakan perbincangan dengan ketua tentera Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan perbincangan maya dengan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Mahn Winn Khaing Thann di Bangkok bulan lepas. 

Pada akhir sidang kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China, Anwar mengumumkan bahawa ASEAN merancang untuk melancarkan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara-negara GCC yang kaya dengan minyak.

“(Kami adakan) pertemuan pertama dua tahun lepas di Riyadh, Arab Saudi, yang lebih kepada formaliti untuk memperkenalkan program itu, dan kami melalui beberapa bidang kerjasama tertentu,” kata Anwar pada sidang media bersama. 

Secara keseluruhannya, ia merupakan satu siri sidang kemuncak sangat berjaya yang membincangkan isu-isu serantau dan menjadikan Asia Tenggara destinasi menarik untuk perdagangan dan pelaburan. 

Sidang kemuncak ke-47 akan diadakan pada Oktober di Kuala Lumpur sekali lagi, dipengerusikan oleh Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan