Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemimpin, Delegasi GCC Mula Berlepas Pulang

27/05/2025 10:12 PM

SEPANG, 27 Mei (Bernama) -- Pemimpin dan delegasi negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC)  mula berlepas pulang hari ini selepas selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama di Kuala Lumpur.

Antara pemimpin negara Teluk yang berangkat pulang hari ini ialah Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al Saud, serta Ahli Majlis Tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Ras Al Khaimah (RAK) Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi.

Sheikh Tamim dan delegasi menaiki pesawat khas di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari tadi serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir bagi mengucapkan selamat jalan.

Putera Faisal turut berlepas menaiki pesawat khas pada 5.35 petang, diikuti Sheikh Saud pada 6.32 petang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang mengiringi delegasi Arab Saudi serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (UAE) turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada mereka.

Terdahulu, ketiga-tiga pemimpin diberikan upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten J. Lingesri Rao.

Ketika merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perhimpunan itu sebagai peristiwa luar biasa dalam konteks Asia Tenggara.

Anwar berkata kehadiran pemimpin ASEAN berserta wakil dari negara GCC yang paling dinamik ialah bukti kepada kepercayaan dan persahabatan yang semakin kukuh antara dua blok berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan