KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- ASEAN memperkukuh komitmen ke arah rantau yang saling berhubung dengan lancar melalui Pelan Strategik Ketersambungan yang meletakkan inovasi digital dan penggunaan teknologi sebagai teras penting dalam matlamat jangka panjang.
Menurut Pelan berkenaan, matlamat strategik bagi inovasi digital adalah untuk mewujudkan komuniti yang sentiasa berinovasi dan mempunyai keselamatan siber yang dipertingkatkan, memajukan kesalinghubungan pasaran kewangan dan sistem pembayaran, serta aliran maklumat rentas sempadan yang cekap.
“Ekonomi digital ASEAN sedang berkembang pesat, untuk membuka potensi ekonomi digital dan menggalakkan keterangkuman digital di rantau ini, penggunaan serta integrasi teknologi maju seperti Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan data raya amat penting,” menurut Pelan itu.
Walaupun teknologi dan penyelesaian menawarkan banyak manfaat, pelaksanaannya berdepan cabaran termasuk meluaskan jurang digital dan menambahkan kebimbangan terhadap keselamatan dalam talian dan jenayah siber yang perlu ditangani melalui kemajuan inovasi digital, aliran data rentas sempadan, serta menggalakkan akses dan penggunaan digital yang selamat dan inklusif.
Inovasi digital ialah satu daripada enam bidang strategik dalam Pelan Strategik Ketersambungan ASEAN yang dijangka menghubungkan ASEAN melalui pengukuhan hubungan fizikal, institusi, dan pertalian antara rakyat di seluruh rantau.
Lima lagi bidang strategik ialah infrastruktur mampan, pembangunan bandar pintar dan mampan, logistik dan rantaian bekalan yang lancar, kecemerlangan kawal selia dan kerjasama, serta kesalinghubungan antara rakyat.
Kesemua bidang ini dirangka untuk menyokong realisasi Visi Komuniti ASEAN 2045, bagi memastikan matlamat ini menjadi nyata, beberapa langkah strategik juga dikenal pasti termasuk mempromosikan tadbir urus data digital untuk menyokong pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mampan di seluruh ASEAN.
Langkah lain ialah menggalakkan pembangunan dan menambah baik penggunaan serta akses kepada data terbuka, menyokong penggunaan teknologi sedia ada dan baharu oleh semua lapisan masyarakat, khususnya pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), wanita, belia, serta Orang Kurang Upaya (OKU) untuk meningkatkan persaingan dan produktiviti.
Selain itu, strategi lain termasuk memajukan ketersambungan sistem pembayaran serantau yang lancar, meningkatkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan teknologi digital, memperkukuh langkah keselamatan siber untuk melindungi ekosistem digital, meningkatkan keselamatan dalam talian, memerangi penipuan dalam talian dan meningkatkan kepercayaan dalam perkhidmatan digital termasuk penggunaan teknologi dan aplikasi keselamatan dalam talian.
Menambah baik keterangkuman dan kebolehcapaian maklumat, memperkukuh kerjasama dalam media digital dan literasi maklumat dalam kalangan warga ASEAN bagi menangkis berita dan maklumat palsu serta maklumat salah, selain memupuk mobiliti bakat digital di ASEAN, turut tersenarai dalam langkah strategi itu.
Pelan Strategik Ketersambungan ialah satu daripada enam dokumen utama yang membentuk pelan induk ASEAN 2045: Masa Depan Bersama. Dokumen lain ialah Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, Visi Komuniti ASEAN 2045, Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan, Pelan Strategik Komuniti Ekonomi 2026-2030, dan Pelan Strategik Komuniti Sosiobudaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial