Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Belia ASEAN Seru Pembangunan Terangkum, Mampan

26/05/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Delegasi-delegasi belia dari negara anggota ASEAN menggesa pemimpin serantau menggubal dasar berani dan terangkum bagi memperkasa belia, memacu pembangunan mampan dan meningkatkan daya tahan rantau ini, semasa Dialog Belia ASEAN Keempat yang berlangsung di sini dari 22 hingga 26 Mei.

Dalam Pernyataan Belia ASEAN 2025 sempena dialog bertemakan “Belia untuk Masa Depan Mampan: Memperkasa Keterangkuman dan Memacu Perubahan di ASEAN”, para pemimpin muda mengemukakan sembilan syor dasar utama kepada kerajaan negara anggota ASEAN.

Antara syor berkenaan ialah gesaan agar ASEAN memperbaharui komitmen memperkasa belia dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, Pakatan untuk Masa Depan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Visi Komuniti ASEAN 2025 dan Pelan Tindakan ASEAN Mengenai Belia 2021–2025.

Para delegasi turut menggesa perhatian lebih besar diberikan kepada kesihatan dan kesejahteraan belia, termasuk dasar khusus berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif, kesihatan mental, penyalahgunaan bahan, pemakanan dan kebersihan.

Mereka turut menekankan pentingnya perkhidmatan kesihatan yang mampu milik dan mudah diakses, khususnya sokongan kesihatan mental.

Belia ASEAN turut menggesa peluasan program perlindungan sosial untuk komuniti terpinggir termasuk wanita, orang kurang upaya dan kumpulan rentan lain, merangkumi akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, peluang ekonomi serta perlindungan daripada keganasan dan diskriminasi.

Mengambil kira transformasi digital yang pesat, mereka mencadangkan pembangunan pendidikan yang mudah diakses serta latihan kemahiran lanjutan dalam bidang seperti kecerdasan buatan, literasi digital dan Revolusi Industri Keempat, di samping kempen memerangi jenayah siber seperti penipuan dalam talian, maklumat salah, maklumat palsu dan buli siber.

Pernyataan itu juga mengesyorkan agar negara anggota ASEAN membangunkan program pendidikan dan latihan bersama yang berteraskan 17 SDG.

Program ini harus melibatkan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan merangkumi kerajaan, akademia, masyarakat madani dan sektor swasta bagi membina keupayaan, daya saing dan perkongsian ilmu dalam kalangan belia.

Bagi merapatkan jurang bandar dan luar bandar, golongan belia menyarankan pelaburan dalam infrastruktur terangkum yang mengintegrasikan pendekatan kesihatan planet serta menyokong penyertaan bermakna belia dalam pembangunan mampan bandar dan desa.

Mereka turut menyeru penubuhan pusat sokongan inovasi serta rangka dasar pemungkin bagi menggalakkan ekosistem pemula yang terangkum dan berdaya tahan. Ini  termasuk penyediaan bimbingan, akses kepada pembiayaan dan pasaran serta perkongsian ilmu keusahawanan.

Pernyataan itu turut menekankan kepentingan pertukaran budaya untuk meraikan kepelbagaian budaya dan pengetahuan tradisional sambil mempromosi persefahaman bersama dan perpaduan serantau.

Belia ASEAN juga menyeru tindakan segera terhadap perubahan iklim, menggesa negara anggota supaya menangani kehilangan biodiversiti dan meningkatkan daya tahan bencana melalui amalan mudah suai, pengetahuan tempatan, infrastruktur mampan dan tanggungjawab korporat.

“Kami menghargai komitmen pemimpin ASEAN dalam memperkasakan belia sebagai antara peneraju utama masa depan mampan bersama. Melalui kerjasama antara generasi dan inovasi, kami akan mewujudkan ekosistem terangkum  yang memupuk dan mengangkat suara belia.

“Kami berharap sembilan syor dasar ini dapat menghasilkan potensi besar belia ASEAN, memperkasa mereka untuk memimpin dengan keberanian dan kreativiti ke arah masa depan serantau yang terangkum dan mampan,” katanya.

Dialog Belia ASEAN yang dianjurkan di Kuala Lumpur menghimpunkan delegasi dari semua negara anggota ASEAN, menjadi platform serantau bagi penglibatan belia dan perbincangan dasar mengenai keutamaan pembangunan bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan