Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sidang Kemuncak ASEAN Jadi Platform Sukarelawan Belia Asah Kepimpinan

26/05/2025 01:30 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Tugasan menyambut tetamu, menunjukkan arah, menyediakan meja mesyuarat mungkin tampak kecil, namun bagi sekumpulan 97 sukarelawan muda yang bertugas di Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, inilah pentas mereka membina jati diri, menimba pengalaman dan mencorak masa depan di persada serantau.

Sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa berusia 21 hingga 28 tahun dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi seluruh negara ini bukan sekadar membantu di balik tabir sahaja, malah mereka juga sebenarnya memperoleh banyak ilmu menerusi tugasan-tugasan ini.

Kebanyakan sukarelawan yang ditemui mengaku mereka menjadikan peluang ini untuk memahami selok-belok protokol antarabangsa, berdepan pemimpin dunia dan mewakili imej Malaysia yang muda, cekap dan bersedia.

Bagi Jeremiah Lucas Jugo David , 24, dari Institut Pendidikan Guru Raja Melewar, menjadi sukarelawan bukan sekadar aktiviti sambilan, sebaliknya bentuk khidmat kepada negara dan peluang mendalami realiti diplomasi serantau secara langsung.

“Peluang ini bukan sahaja memberi saya ruang untuk menyumbang kepada negara, tetapi juga membolehkan saya memahami selok-belok pengurusan protokol antarabangsa yang kompleks, sesuatu yang jarang didedahkan kepada golongan muda,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di acara itu. 

Ad Banner

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu turut menekankan kepentingan penyertaan belia dalam program seumpama ini, yang membantu membentuk generasi muda yang lebih holistik, berkemahiran  dan berdaya saing di peringkat global.

Pelajar Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Khas dari Universiti Kebangsaan Malaysia Muhammad Izzat Ibrahim, 28, pula berkata pengalaman tersebut membolehkan beliau membina keyakinan dan memahami secara praktikal bagaimana mengendalikan protokol rasmi dan berinteraksi dengan tetamu negara.

“Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kami berpeluang menyambut pemimpin-pemimpin negara termasuk Menteri Luar ASEAN dari Filipina, Timur Leste dan lain-lain.

“Kebanyakan mereka sangat mesra dan menyambut kehadiran kami, anak muda dengan penuh mesra,” katanya.

Berkongsi harapan beliau terhadap masa depan ASEAN, Muhammad Izzat optimis bahawa ASEAN mampu menjadi kuasa besar dunia pada masa hadapan.

“Dengan ekonomi ASEAN yang semakin berkembang, saya berharap generasi muda akan menggunakan platform ini untuk membina jaringan dan hubungan dengan negara-negara anggota seperti Indonesia dan Filipina. Saya yakin jaringan ini akan menjadi aset berharga dalam lima hingga sepuluh tahun akan datang,” katanya penuh harapan.

Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Strategik Universiti Multimedia Devitra Ramachandran, 24, pula menganggap peranan sebagai sukarelawan sebagai budaya yang mampu mendidik peribadi selain platform yang mampu melahirkan pemimpin masa depan yang lebih berketrampilan. 

“Budaya sukarelawan ini bagi saya adalah satu pelajaran hidup. Bila dapat sertai acara besar seperti ASEAN Summit yang hanya datang sekali dalam 10 tahun bagi sesebuah negara, ia satu peluang keemasan untuk saya belajar tentang protokol dan komunikasi di peringkat tinggi,” katanya menambah ia peluang yang baik dalam membina rangkaian. 

Beliau mengakui sebagai pelajar dalam bidang komunikasi strategik, pengalaman ini sangat bermakna kerana dapat melihat sendiri bagaimana pemimpin dan individu berpengaruh berinteraksi, serta merasai suasana sebenar dalam urusan rasmi kerajaan. 

“Saya dapat lihat secara langsung tokoh-tokoh penting, jumpa orang dalam kerajaan, dan bagi saya ini pengalaman yang sangat menarik, dan ia bukan sesuatu yang boleh dibeli dengan wang ringgit,” ujarnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini dan esok dianjurkan di bawah Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan