Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 31 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan untuk mengekalkan keterbukaan ekonomi di Asia Tenggara, sambil menyatakan ia telah lama menjadi asas kepada kemakmuran serantau, kestabilan politik dan perpaduan.
Dalam Ucapan Khas beliau pada Dialog Shangri-La ke-22 di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keterbukaan ekonomi bukan sahaja sebagai laluan kepada pertumbuhan malah menjadi kuasa penstabil dalam hubungan antarabangsa.
“Ia menjadi sumber keseimbangan sama ada di antara negara mahupun dalam negara itu sendiri bagi menangani isu-isu mendesak seperti kemiskinan, ketaksaksamaan sosial atau jurang digital.
"Pasaran terbuka mewujudkan pendedahan bersama antara negara, yang menggalakkan tindakan berhati-hati, bukan konfrontasi," kata beliau.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa gangguan terhadap keterbukaan ekonomi boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan menjadikan aliran kewangan global tidak stabil.
Beliau berkata kalangan pemimpin ASEAN telah menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman yang semakin meningkat akibat tindakan unilateral, tarif tindak balas serta risiko perpecahan ekonomi global.
Kenyataan pemimpin ASEAN mengenai ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan global turut mengesahkan komitmen rantau ini terhadap sistem perdagangan yang terbuka, boleh diramal dan berasaskan peraturan, bukan berikutan ia tindakan yang mudah, tetapi kerana ia penting untuk kelangsungan ekonomi negara-negara ASEAN.
Anwar turut menegaskan bahawa, bagi ekonomi yang terbuka dan berorientasikan eksport seperti Malaysia, sebarang perpecahan dalam perdagangan boleh mengakibatkan peningkatan kos, daya tahan yang lebih rendah dan pelaburan merosot.
“Ketidaktentuan mata wang dan pengaliran keluar pelabur tidak mengira sempadan. Gangguan dalam tenaga, makanan atau bahan mineral kritikal akan memberi kesan yang menular dengan cepat kepada masyarakat,” kata Perdana Menteri.
Dialog Shangri-La, satu persidangan utama pertahanan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik, melibatkan penyertaan daripada 47 negara termasuk 40 delegasi bertaraf menteri, 20 ketua angkatan tentera, lebih 20 pegawai kanan pertahanan serta ahli akademik terkemuka dari seluruh rantau ini.
Terdahulu, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth serta Presiden Boeing Global merangkap Naib Presiden Kanan Boeing Company Dr Brendan Nelson di luar sesi dialog berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial