Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPN Hargai Peranan Media Perkukuh Keselamatan Negara

26/05/2025 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan penghargaan kepada semua pengamal media atas kerjasama berterusan dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat sekali gus memperkukuh keselamatan serta keharmonian negara.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain berkata media massa menjadi entiti penting yang berperanan besar dalam menterjemahkan usaha pasukan itu memartabatkan keluhuran perlembagaan serta menguatkuasakan undang-undang secara adil kepada segenap lapisan masyarakat.

“Hubungan kerjasama yang utuh antara PDRM dan media berteraskan tanggungjawab bersama dalam menyampaikan informasi yang tepat dan telus demi menegakkan keadilan dalam apa jua keadaan.

“Media mempunyai ‘kuasa unik’ yang mampu mempengaruhi pemikiran serta memenangi hati masyarakat, menjadikan mereka rakan strategik dalam usaha memperkukuh keselamatan dan mengekang pengaruh negatif,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Apresiasi KPN bersama Media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata PDRM sentiasa mengiktiraf media sebagai penyampai maklumat dan suara rakyat, malah turut melihat mereka sebagai ‘pemerhati’ yang mampu memberi pandangan serta cadangan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan PDRM.

“Penugasan warga polis dan pengamal media berpaksikan kepada kepentingan keselamatan negara, keharmonian kaum serta perpaduan nasional secara inklusif.

Ad Banner

“Justeru, penyaluran maklumat haruslah selaras dengan keperluan, hak asasi serta kepentingan masyarakat agar kita terus diyakini dan relevan,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen PDRM untuk memperkukuh sinergi dengan pihak media, sejajar dengan semangat Dasar MADANI yang mendukung nilai hormat, ihsan, keterangkuman dan kesaksamaan dalam membangunkan negara yang mampan.

“PDRM terus mengambil pendekatan pragmatik dalam memperkukuh hubungan bersama media, sesuai dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan