Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kehadiran 1.2 Juta Pengunjung, PBAKL Tarik Golongan Muda

30/05/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 mencatatkan jumlah pengunjung yang sangat memberangsangkan setakat semalam dengan kehadiran kira-kira 1.2 juta pencinta buku.

 Pengerusi Pengelola PBAKL Mohd Khair Ngadiron berkata daripada jumlah itu golongan muda merekodkan kehadiran tertinggi pada acara tahunan itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sejak 23 Mei lepas. 

“Pada 29 Mei sahaja kami menerima lebih 240,000 pengunjung yang menunjukkan minat membaca buku.

“Sebanyak 70 peratus pengunjung PBAKL terdiri daripada generasi muda berusia 40 tahun ke bawah dan hasil jualan buku terus laris kerana ada pempamer membuat “live” di Instagram dan TikTok setiap hari,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata cuti sekolah yang bermula semalam turut menjadi antara faktor penyumbang kepada lonjakan kehadiran pengunjung selain pengisian reruai permainan kanak-kanak.

“Sempena cuti sekolah ini, saya lihat ibu bapa datang bersama anak-anak berduyun-duyun dan ini merupakan aktiviti yang sihat bagi mengisi masa bersama keluarga serta dapat mengeratkan hubungan antara mereka,” katanya.

Ad Banner

Menurutnya antara kelainan PBAKL tahun ini adalah penambahan jumlah dewan dan keluasan tapak bagi memberikan keselesaan serta pengalaman yang lebih baik kepada pengunjung.

PBAKL berlangsung mulai 23 Mei hingga 1 Jun ini dari 10 pagi hingga 10 malam.

-- BERNAMA


 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan