Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Visi 2045 Pacu Integrasi ASEAN Di Tengah-Tengah Ketidaktentuan Global - Maris

25/05/2025 11:42 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Dokumen “ASEAN 2045: Masa Depan Bersama” penting untuk memacu rantau Asia Tenggara ke arah integrasi yang lebih mendalam dan membina masa depan yang lebih kukuh, berdaya tahan dan makmur secara bersama, kata Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa.

Beliau berkata penerimaan dokumen ini tepat pada masanya dan amat mustahak ketika rantau ini sedang menempuh ketidaktentuan global.

“Integrasi ASEAN sangat penting. ASEAN perlu menjadi kukuh, terutamanya dalam tempoh penuh cabaran ketika ketidaktentuan dunia kini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.

Maris berkata menteri luar ASEAN secara konsisten menekankan keperluan untuk rantau ini memperkukuh perpaduan dalam semua aspek.

“Mesej utama ialah ASEAN mesti lebih kuat secara bersama, dan bagaimana kita boleh membentuk integrasi yang lebih kukuh,” katanya.

Dokumen berkenaan dijangka ditandatangani dan dilancarkan oleh pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara esok yang meliputi empat tonggak utama, iaitu politik dan keselamatan; kerjasama ekonomi, sosiobudaya, serta kesalinghubungan.

Ad Banner

Kesemua elemen ini akan meletakkan asas untuk membina ASEAN yang lebih kuat, lebih terhubung dan lebih bersatu untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Beliau menegaskan bahawa elemen utama visi itu adalah untuk memastikan keterangkuman supaya tiada pihak yang dipinggirkan.

“Apabila ASEAN kuat bersama-sama, kita tidak akan meninggalkan sesiapa, kita akan bekerjasama dengan semua, termasuk kuasa besar dan ahli komuniti global,” katanya.

Maris berkata kerjasama ekonomi dalam kalangan negara ASEAN dan rantau lain perlu diperkukuh dan diperluas memandangkan rantau ini telah berkembang menjadi pasaran utama dan rakan dagang global penting.

Beliau berkata pertukaran rakyat ke rakyat juga akan menjadi tonggak utama bagi masa depan bersama rantau ini.

Dengan populasi sebanyak 690 juta orang, ASEAN merupakan antara rantau yang paling pesat membangun di dunia. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan blok ini kini berjumlah hampir USD4 trilion diunjurkan berkembang pada 4.7 peratus pada 2025, meletakkannya di landasan untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia pada 2030.

ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 kini dianggotai 10 negara, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan, yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” pada 26 dan 27 Mei, dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan