KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Malaysia mengadakan pertemuan dua hala berasingan dengan Kemboja dan Bahrain hari ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, sebagai usaha memperkukuh komitmen terhadap kerjasama serantau dan antarabangsa.
Mesyuarat yang diketuai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bermula pada pukul 3 petang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersama Timbalan Perdana Menteri Kemboja merangkap Menteri Luar Prak Sokhonn.
Pertemuan selama 30 minit itu membincangkan pelbagai isu membabitkan hubungan dua hala dan kerjasama dalam ASEAN.
Delegasi Kemboja diketuai oleh Sokhonn dan disertai dua Setiausaha Negara Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kung Phoak dan Ouk Sorphorn, serta dua Timbalan Setiausaha Negara Chan Ratana dan Hean Polyne.
Selepas mesyuarat bersama Kemboja, Mohamad turut mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Bahrain Dr Abdullatif Rashid Alzayani. Pertemuan selama setengah jam itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama serantau.
Delegasi Malaysia turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia Datuk Zanariah Zainal Abidin.
Alzayani pula mengetuai delegasi Bahrain yang terdiri daripada Penasihat Hal Ehwal Politik Hamad Ali Al Mannaie; Duta Bahrain ke Malaysia Dr Walid Khalifa Al Manea, Ketua Hal Ehwal Perundangan merangkap Pemangku Ketua Hal Ehwal GCC, Mohamed Abdulrahman AlHaidan, Ketua Penyelarasan dan Susulan merangkap Pemangku Pengarah Pejabat Menteri, Saeed Abdulkhaliq Saeed; serta Pegawai Protokol, Mohammed Abdulaziz Al Majed.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei di KLCC bakal menghimpunkan pemimpin negara anggota untuk membincangkan cabaran serantau, menggalakkan kerjasama ekonomi dan memperkukuh prinsip keterangkuman serta kemampanan.
Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama yang berlangsung secara serentak
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial