Oleh Aisha Hani Nor Azmir dan Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Negara anggota ASEAN perlu mengukuhkan kerjasama tenaga serantau sebagai sebahagian daripada strategi kemakmuran bersama, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerjasama rentas sempadan dalam sektor tenaga ini dapat dilihat menerusi jalinan kerjasama antara Laos, Malaysia, Thailand dan Singapura.
"Contohnya, Laos menjual tenaga kepada Singapura, tetapi tenaga itu perlu melalui Thailand dan Malaysia, jadi Laos perlu membayar caj pengangkutan melalui grid tenaga kita.
"Namun, adakalanya apabila tiba musim sejuk dan air beku, Laos tiada bekalan dan ketika itu tiada bekalan tenaga dari Laos ke Singapura, maka Laos akan ambil (tenaga) dari Thailand dan Malaysia untuk dibekalkan kepada Singapura, jadi kita berkongsi, bantu-membantu antara negara ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi the Luncheon Powertalk - Shared Prosperity: The New Imperative for ASEAN's Economic Growth bersempena dengan Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025) di sini hari ini.
Singapura kini mengimport hingga 100 megawatt (MW) tenaga boleh baharu dari Laos menerusi inisiatif rentas sempadan, iaitu Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP). Ia akan dinaikkan kepada maksimum 200MW kuasa hidro boleh baharu, dengan bekalan turut diperoleh dari Malaysia.
Fadillah berkata Malaysia komited dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) dan sedang menggerakkan usaha ke arah merealisasikan Grid Tenaga ASEAN bagi mewujudkan ekosistem tenaga yang saling berhubung dan mampan.
Memetik contoh insiden letupan paip gas di Putra Heights, Fadillah berkata Malaysia berunding dengan Thailand dalam membekalkan sumber gas ke utara Malaysia memandangkan saluran yang terjejas terpaksa ditutup susulan insiden berkenaan.
"Inilah cara kita dapat saling membantu. Ini yang dikatakan kemakmuran bersama. Jika kita dapat berkongsi, saling membantu, akan menjadikan ASEAN itu lebih kukuh, lebih kompetitif," katanya.
Beliau berkata antara cabaran negara ialah memastikan bekalan tenaga stabil, namun tidak dapat dijamin dengan penggunaan sumber seperti solar dan angin kerana sifatnya bergantung pada cuaca dan masa.
Justeru, Fadillah berkata Malaysia ketika ini bergantung pada arang batu, gas dan diesel, tetapi buat masa ini, dunia sedang beralih kepada sumber tenaga bersih seperti hidrogen, tenaga nuklear, tenaga hidro dan biogas, iaitu efluen yang terhasil daripada bahan buangan dan sisa industri sawit.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia terus komited memperkasakan wanita dalam semua aspek pembangunan negara termasuk dalam bidang keusahawanan, pekerjaan dan pembangunan kapasiti selari dengan pendekatan kemakmuran bersama.
Beliau berkata hal ini dapat dilihat menerusi usaha pemerkasaan wanita melalui dasar pendidikan yang terbuka, dengan golongan itu kini mendominasi pengajian tinggi serta semakin menyerlah dalam bidang teknikal dan profesional.
Katanya, pendekatan kemakmuran bersama juga merentasi semua lapisan masyarakat termasuk golongan wanita serta mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau terpinggir daripada arus pembangunan.
“Kita perlu beri ruang dan peluang kepada wanita serta golongan yang mungkin tertinggal, contohnya mereka yang hidup jauh di kawasan luar bandar … kita perlu rapatkan jurang termasuk jurang digital, jurang pembangunan, serta jurang antara dasar dan pelaksanaan,” katanya.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Pengarah Urusan Kuok Brothers Sdn Bhd dan pengasas K3 Ventures Kuok Meng Xiong.
UOB Malaysia merupakan penaja utama AWES 2025 manakala Kuok Brothers Sdn Bhd bertindak sebagai rakan pemerkasaan.
AWES 2025 yang julung-julung kali diadakan selama dua hari bermula semalam, berlangsung bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini. Lebih 700 delegasi yang mewakili kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat sivil dari seluruh ASEAN telah menghadirinya.
Bertemakan Empowering Women, Energising ASEAN: Pioneering Economic Integration for a Resilient Tomorrow, sidang kemuncak ini menekankan keperluan mendesak untuk meletakkan wanita di barisan hadapan dalam transformasi ekonomi ASEAN terutamanya dalam menangani cabaran semasa seperti perang tarif global, transformasi digital dan pembangunan mampan.
Ia turut menampilkan sesi perbincangan, percambahan fikiran strategik, bengkel kepimpinan serta program bimbingan kepimpinan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial