SEPANG, 25 Mei (Bernama) -- Pemimpin dari negara Asia Tenggara dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) tiba di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 yang berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula pada 26 dan 27 Mei.
Setiausaha Agung GCC Jasem Mohamed AlBudaiwi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada 1.18 tengah hari.
Terdahulu, Menteri Luar Kuwait Abdullah Ali Al-Yahya tiba pada 10.15 pagi, diikuti Speaker Dewan Perwakilan Filipina Ferdinand Martin Gomez Romualdez pukul 11.40 pagi manakala Setiausaha Rendah bagi Hal Ehwal Politik Kementerian Luar Oman, Sheikh Khalifa Ali al Harthy tiba paling awal pada 7.30 pagi tadi.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang pertama berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada Oktober 2023, dengan pemimpin meluluskan Kerangka Kerjasama ASEAN-GCC (2024-2028), satu pencapaian bersejarah dalam hubungan antara rantau.
GCC, merangkumi enam negara, iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu, diasaskan pada 1981 untuk menggalakkan kerjasama politik dan ekonomi dalam kalangan negara Teluk.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, turut diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ialah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama pada 26 dan 27 Mei di ibu negara, di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, edisi tahun ini menandakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005, dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial