SUKAN > BERITA

Izz Naqiuddin Rangkul Gelaran Di Laman Sendiri, Tewaskan Idola

01/06/2025 04:47 PM

PETALING JAYA, 1 Jun (Bernama) -- Atlet boling muda negara, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin mempamerkan aksi cemerlang di laman sendiri untuk menjuarai Final Terbuka Masters pada Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur 2025, yang berlangsung di Sunway Megalanes di sini hari ini.

Izz Naqiuddin, 21, mencatat 1,993 jatuhan pin untuk menewaskan Ahmad Azriq Izam di tempat kedua (1,951) dan Ahmad Aidil Abdul Halimdi tempat ketiga (1,882).

Lebih mengujakan apabila dia berjaya menewaskan idolanya, juara dunia 2018 Muhammad Rafiq Ismail yang menamatkan saingan di tempat ke-16 dengan 1,732 jatuhan pin.

“Memang rasa sangat puas dan teruja sebab berjaya kalahkan idola saya.  Ini merupakan kemenangan kedua saya ke atas Muhammad Rafiq selepas kali pertama di Singapura.

“Lebih manis, ini juga gelaran sulung saya di Sunway sejak mula berlatih di sini ketika berusia 19 tahun,” katanya kepada pemberita.

Izz Naqiuddin berkata kejayaan kali ini adalah hasil fokus terhadap permainan sendiri tanpa melakukan banyak perubahan serta mengekalkan tahap konsistensi sepanjang kejohanan.

Membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, dia memberi penilaian ‘10/10’ terhadap persembahan hari ini yang merupakan gelaran ketiga sepanjang kariernya selepas menjuarai Pesta Boling Antarabangsa Pulau Pinang 2023 dan Singapura 2024.

Dalam saingan wanita, atlet negara Nur Syazwani Sahar muncul sebagai pemain wanita terbaik dengan catatan 1,776 jatuhan pin.

“Secara keseluruhan permainan saya adalah baik tapi disebabkan ‘bad pair’, prestasi saya sedikit merosot dalam game 1 hingga 5. Tapi di game terakhir saya berjaya bangkit semula.

“Selepas ini saya akan ke Terbuka Singapura dan menyasarkan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik,” ujarnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan