Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Perlu Perkukuh Daya Tahan Keselamatan, Digital Hadapi Ancaman Kian Meningkat - Mohamad

25/05/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Penting untuk ASEAN memperkukuh kerjasama serantau, menyelaraskan rangka kerja perundangan, dan memperkasakan mekanisme perkongsian maklumat dalam kalangan negara anggota, sebagai tindak balas kepada cabaran keselamatan yang semakin meningkat, khususnya jenayah siber, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bercakap semasa menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-29 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini, Mohamad menegaskan bahawa menangani isu berkenaan secara menyeluruh adalah mustahak untuk melindungi kesejahteraan warga ASEAN serta memastikan kemakmuran dan keselamatan serantau.

“Ramai warga ASEAN menjadi mangsa kepada skim penipuan dan menjadi mangsa perdagangan untuk bekerja sebagai buruh paksa di pusat penipuan. Mereka kehilangan kebebasan, maruah dan wang simpanan. Operasi dalam talian haram yang berleluasa juga memberi kesan buruk kepada ekonomi negara anggota ASEAN.

“Dalam beberapa tahun lepas, ASEAN mempertingkatkan usaha untuk membendung ancaman jenayah siber, namun sindiket jenayah ini berulang kali mengubah lokasi atau membina semula operasi mereka,” katanya pada mesyuarat berkenaan yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Mohamad berkata ASEAN sedang mengemudi landskap global dan serantau yang bertambah kompleks, dibentuk oleh persaingan geopolitik yang semakin sengit, ketidaktentuan ekonomi, dan cabaran transnasional yang menekankan ketidakkukuhan orde dunia pada masa kini.

Beliau berkata kemajuan pesat teknologi dan ruang siber yang semakin luas bukan sahaja memerlukan pemeliharaan rangkaian dan ekosistem digital serantau, tetapi juga memerlukan daya tahan yang diperkukuh terhadap ancaman baharu.

Ad Banner

Sementara itu, Mohamad berkata APSC kini sedang menjalankan kajian akhir mengenai kemajuan yang dicapai di bawah Pelan Induk APSC 2025, dengan hasil dapatan dijangka membentuk pembangunan Pelan Strategik APSC 2045 yang bakal diterima pakai oleh pemimpin ASEAN esok sebagai sebahagian daripada Visi Komuniti ASEAN 2045.

“Sejak Mesyuarat APSC terakhir di Vientiane pada Oktober 2024, kita telah menyaksikan kemajuan ketara dalam pelaksanaan kerja oleh badan sektoral APSC. Usaha ini terus menyumbang kepada objektif pembinaan komuniti ASEAN dan integrasi serantau.

“Laporan APSC yang dikemukakan hari ini mencerminkan kesungguhan usaha kolektif kita. Pelan Strategik APSC 2045 akan berfungsi sebagai kompas penting bagi kerjasama politik-keselamatan ASEAN untuk dua dekad akan datang, berlandaskan nilai keamanan, daya tahan dan pertumbuhan berteraskan rakyat,” katanya.

Mohamad berkata rantau ini juga berada di persimpangan penting apabila ASEAN menghampiri penghujung Pelan Tindakan APSC 2025.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, dijangka membincangkan isu-isu serantau yang mendesak termasuk berkaitan politik dan keselamatan.

Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau ini, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Bersempena dengan sidang kemuncak ini juga, dua persidangan peringkat tinggi utama – Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama – akan berlangsung sebagai platform strategik untuk meningkatkan kerjasama serantau dan antara rantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan