Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Muktamadkan Rundingan ACFTA 3.0 & ATIGA Yang Dinaik Taraf, Perkukuh Integrasi Ekonomi

25/05/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN hari ini memuktamadkan rundingan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf, satu langkah penting untuk integrasi ekonomi dan pertumbuhan yang lebih utuh.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata hari ini, kedua-dua perjanjian yang dinaik taraf itu dijadualkan akan dimeterai di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober depan di Kuala Lumpur.

“Kami kekal yakin bahawa semua pencapaian ini akan menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan dan daya saing ASEAN yang berterusan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 di sini, hari ini.

AECC ialah badan penyelarasan utama ASEAN yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pelbagai sektor di bawah Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN.

Tengku Zafrul berkata kejayaan dalam usaha memuktamadkan semua rundingan itu dijangka meningkatkan integrasi ekonomi rantau ini dan menjana manfaat ekonomi yang besar untuk ASEAN, ketika blok ini terus mengharungi landskap ekonomi global yang semakin tidak menentu.

“Khususnya, ATIGA -- yang telah lama dianggap sebagai asas integrasi ekonomi ASEAN -- kini akan meliputi peruntukan yang bersifat pandangan jauh dan membawa impak komersial yang bermakna, bertujuan meningkatkan lagi perdagangan serantau, mengykuhkan rantaian bekalan dan menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih kukuh dalam ASEAN,” katanya.

Ad Banner

Kedua-dua Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) itu adalah antara 18 PED Malaysia.

Pada mesyuarat itu, AECC membincangkan beberapa isu mendesak termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan kesan langkah tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap landskap perdagangan dan pelaburan ASEAN.

Kalangan menteri dalam AECC sebulat suara mengakui bahawa ASEAN perlu keluar daripada pendekatan lazim, sebaliknya perlu melaksanakan strategi yang lebih berani, cekap serta berpandangan jauh untuk melindungi serta memajukan kepentingan sosioekonomi ASEAN.

“Kami sekali lagi menegaskan bahawa prinsip kepusatan, tidak memihak, berkecuali dan perpaduan ASEAN kekal sebagai perkara asas bagi daya tahan dan kejayaan kami.

“Kepelbagaian, kekuatan ekonomi secara kolektif, kestabilan politik, dan komitmen bersama rantau ini menjadi asas kukuh untuk menghadapi cabaran semasa dan akan datang dengan jayanya.”

AECC turut menyambut baik penyelesaian sepenuhnya PED Laos bagi 2024, yang ditunjukkan melalui kejayaan penerimaan Pelan Hala Tuju Piawaian Perdagangan Digital. Pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan dalam memajukan agenda ekonomi digital ASEAN.

Mesyuarat AECC itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong; Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Datuk Awang Mohd Amin Liew Abdullah; Menteri Perdagangan Kemboja Cham Nimul; Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Nguyen Hong Dien; Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso; dan Menteri Industri dan Perdagangan Laos Malaithong Kommasith.

Wakil lain yang menghadiri mesyuarat itu ialah Setiausaha Rendah Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina Allan B. Gepty; Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong; Menteri Perdagangan Thailand Pichai Naripthaphan; dan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Acara itu diadakan bersama dua sidang kemuncak utama lain, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, sebagai platform penting memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.

Sepanjang menjadi anggota dalam blok 10 negara ini, Malaysia telah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan