Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

18 Anggota FRU Terlibat Nahas Terima Sumbangan Pelbagai Pihak

25/05/2025 03:09 PM

IPOH, 25 Mei (Bernama) -- Waris dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh yang terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan pada 13 Mei lepas terus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bersama isterinya yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia Puan Sri Zainah Othman dalam satu majlis yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Razarudin dalam ucapannya berkata hasil sumbangan yang berjaya dikumpul membolehkan keluarga atau waris setiap mangsa yang meninggal dunia menerima wang tunai dianggarkan lebih RM46,000, manakala bagi anggota yang cedera pula menerima wang tunai dianggarkan lebih RM11,000.

“Selain itu, suka untuk saya kongsikan balu atau waris mangsa yang meninggal dunia telah menerima RM25,000 setiap seorang hasil sumbangan bantuan sagu hati dari Tabung Amanah Perwira dan Pertahan Negara (TAPPN) yang telah dikreditkan pada 23 Mei lepas.

“Semoga amalan murni ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban waris-waris yang ditinggalkan dan mangsa yang mengalami kecederaan,” katanya.

Turut hadir Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.

Ad Banner

Kesemua penerima sumbangan diwakili anggota keluarga yang terdiri daripada balu atau waris anggota FRU terbabit.

Antara pihak yang memberikan sumbangan adalah Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Kontinjen Perak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Koperasi Polis Diraja Malaysia, Yayasan Insan Sakan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd serta Enforcement Leadership and Management University (ELMU).

Dalam kejadian pada 8.50 pagi 13 Mei lepas, sebuah lori FRU dinaiki 18 anggota pasukan dari Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam di sini terlibat dalam kemalangan dengan lori membawa muatan batu semasa dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.

Kemalangan itu mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, manakala sembilan lagi anggota mengalami pelbagai kecederaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan