Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Syarikat kerusi urut layan diri Malaysia, Rest N Go merancang untuk memperluas operasinya ke Indonesia, merupakan fasa strategi pertumbuhan seterusnya di rantau Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Terence Chang berkata syarikat yang ditubuhkan pada 2008, kini mengendalikan sebanyak 6,691 kerusi urut layan diri di lebih 1,000 lokasi meliputi tujuh negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, Kemboja dan Brunei.
“Ini merupakan detik yang membanggakan untuk mewakili Malaysia di Sidang Kemuncak ASEAN 2025. Penyertaan dalam acara berprestij seperti ini mencerminkan peranan kami dalam mempromosikan kesejahteraan melalui inovasi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian pada pameran produk yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Pelan pengembangan syarikat itu termasuklah menjalin kerjasama strategik, melancarkan rekaan ruang rehat yang ditambah baik dan inovasi berterusan dalam rangkaian produknya dengan matlamat untuk menjadi peneraju serantau dalam kesejahteraan digital.
“Kami menyasarkan untuk mengembangkan ruang rehat premium kami ke lebih banyak lapangan terbang, pusat beli-belah dan hab pengangkutan. Indonesia merupakan pasaran utama yang sedang giat kami terokai,” katanya.
Sebagai rakan strategik untuk mesyuarat peringkat tinggi, syarikat menyediakan 30 stesen kerusi urut di pelbagai ruang untuk memudahkan para delegasi.
Rest N Go turut mempamerkan kerusi urut terkininya, GT2088 menampilkan keselesaan premium dipertingkatkan dan keupayaan pembayaran tanpa tunai serta aplikasi syarikat yang membolehkan pengguna mengakses dan mengurus sesi urut mereka dengan lancar.
Pemimpin ASEAN akan berhimpun di sini pada Isnin untuk mesyuarat serantau, diadakan di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
ASEAN ditubuhkan pada 1967, terdiri daripada 10 negara anggota, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial