G
igi yang cantik, putih tersusun menjadi dambaan bagi mereka yang mementingkan penampilan diri, kerana bukan sahaja dapat menjadikan senyuman lebih menawan tetapi turut mencerminkan kebersihan diri.
Justeru, tidak hairanlah ramai yang sanggup berbelanja besar, khususnya golongan muda, bagi mendapatkan rawatan mencantikkan gigi termasuk melakukan pemasangan venir.
Venir dikategorikan sebagai rawatan estetik pergigian dengan fokus utama rawatan adalah untuk meningkatkan penampilan dan keyakinan diri melalui senyuman.
Menerusi rawatan itu, lapisan seperti porselin atau komposit akan dilekatkan pada permukaan depan gigi, berfungsi menutup kecelaan seperti warna tidak sekata, sumbing dan sebagainya.
“HOLLYWOOD SMILE”
Mengulas pemakaian venir, pegawai pergigian Dr Adhwa Anis Zulkarnain berkata “Hollywood smile” yang menjadi trend sejak kebelakangan ini, mendorong ramai individu mendapatkan rawatan pergigian estetik tersebut.

Pegawai pergigian Dr Adhwa Anis Zulkarnain
Beliau berkata kebanyakan mereka yang mendapatkan rawatan itu kerana berkeinginan memiliki gigi yang putih, sempurna dan seimbang sepertimana selebriti Barat ketika ini.
Selain itu katanya pengaruh selebriti media sosial dan artis tempatan yang memiliki senyuman sempurna, turut mencetuskan minat orang ramai untuk mendapatkan rawatan berkenaan.
“Kita melihat venir gigi menjadi trend semasa mungkin kerana pemasangan venir dilihat mampu mengubah penampilan luaran seseorang.
“Kaedah ini merupakan penyelesaian paling cepat dan berkesan untuk mencapai keinginan tersebut, kerana hanya dengan satu atau dua sesi di klinik gigi sudah membolehkan seseorang memiliki senyuman menawan dan jauh berbeza daripada sebelumnya,” katanya kepada Bernama.
Tambahnya, selain gigi kekal putih dalam tempoh yang lama, bentuk gigi juga kelihatan lebih simetri dan teratur tanpa perlu memakai pendakap gigi yang memakan masa untuk menampakkan hasil, selain mendatangkan ketidakselesaan kepada si pemakai.
Menurut beliau, venir bukan sekadar untuk tujuan estetik tetapi turut digunakan bagi merawat gigi bermasalah seperti pecah, sumbing atau berlubang, selain memberikan penampilan sekata bagi gigi jarang.

Venir berfungsi menutup kecelaan gigi seperti warna tidak sekata, sumbing dan sebagainya.-- (foto Avisienna Dental Care)
“Menerusi rawatan ini, ada dua jenis venir yang digunakan, iaitu komposit dan porselin. Komposit ini diperbuat daripada resin komposit yang lebih murah dan dipasang dengan hanya sekali rawatan di klinik gigi.
“Porselin pula ialah lapisan yang diperbuat daripada bahan seramik yang kita akan bentukkan untuk dilekatkan di bahagian depan gigi,” kata pemilik Avisienna Dental Care ini.
Jelasnya, venir jenis porselin lebih popular kerana memberikan hasil lebih estetik dan menampakkan sifat semula jadi gigi, meskipun kosnya agak mahal, iaitu boleh mencapai hingga RM3,000 untuk sebatang gigi berbanding komposit yang tidak lebih daripada RM500 untuk setiap gigi.
IKUT KESESUAIAN
Dr Adhwa Anis yang berkepakaran dalam bidang rawatan venir, bagaimanapun berkata tidak semua individu boleh mendapatkan rawatan tersebut yang bergantung pada kesesuaian keadaan dan kesihatan gigi masing-masing.
Individu yang mengalami masalah gigi atau gusi misalnya, tidak digalakkan mendapatkan rawatan berkenaan.
“Sebelum memasang venir, selalunya doktor akan memeriksa terlebih dahulu keadaan gigi dan gusi pelanggan. Individu yang berhasrat mendapatkan rawatan ini perlu mempunyai gigi dan gusi yang sihat selain mereka ini haruslah teliti dalam aspek penjagaan kebersihan mulut.

Venir porselin lebih popular kerana memberikan hasil lebih estetik dan menampakkan sifat semula jadi gigi, -- (foto Avisienna Dental Care)
“Jika individu itu mempunyai kerosakan gigi yang teruk, akar gigi yang lemah atau mempunyai gusi berdarah atau bengkak, kita akan cadangkan masalah itu dirawat terlebih dahulu supaya tidak mengundang sebarang komplikasi,” katanya yang berpengalaman sekitar 13 tahun dalam bidang rawatan pergigian.
Selain itu katanya pelanggan yang mempunyai gigi terlalu jarang, senget atau berlapis juga tidak dibenarkan membuat pemasangan venir.
“Rawatan venir ini lebih bersifat pembetulan ringan, bukan untuk merawat masalah ortodontik yang serius. Jika individu itu berhasrat memasang venir, doktor bertauliah akan membuat penilaian secara menyeluruh kerana kita tidak mahu ada kesan negatif pada pelanggan selepas prosedur dijalankan.
“Misalnya, jika pelanggan mengalami masalah ortodontik yang serius, iaitu apabila gigi berada dalam keadaan terlalu bersilang atau tidak teratur, rawatan ortodontik seperti ‘braces’ atau ‘aligners’ akan disyorkan kepada pelanggan terlebih dahulu sebelum mereka mengambil rawatan venir,’’ katanya.
TIRUAN
Mengakui trend pemasangan venir turut mengundang barang tiruan, Dr Adhwa Anis berkata walaupun murah, venir tiruan membawa pelbagai risiko, lebih-lebih lagi jika pemasangan dilakukan oleh individu tidak bertauliah.
“Venir tiruan hanya menutup luaran gigi tanpa pemantauan klinikal, selain bersifat sementara dan tidak selamat kerana boleh merosakkan keadaan asal gigi.

Venir memberikan penampilan gigi yang tersusun dan bersih.
“Pemasangan venir yang sebenar ini perlu melalui prosedur yang ditetapkan, contohnya untuk venir porselin... kita akan X-ray dahulu gigi pelanggan, yang mana cetakan (gigi) akan diambil dan dihantar ke makmal untuk kita bentukkan porselin mengikut bentuk gigi yang dikehendaki.
‘’…dan sebelum pemasangan (venir) juga kita akan cuci gigi supaya tiada karang gigi yang tertinggal pada permukaan… pemasangan venir tiruan dilakukan tanpa prosedur ini, jadi karang gigi akan bertambah besar dan berlaku pula jangkitan bakteria yang akhirnya menimbulkan bau mulut yang busuk.’’ jelasnya.
TINGKAT KEYAKINAN DIRI
Dalam pada itu, Dr Adhwa Anis mengakui venir mampu meningkatkan keyakinan diri seseorang terutama ketika berinteraksi dengan orang sekeliling.
“Venir memberikan penampilan gigi yang tersusun dan bersih, sekali gus memberi gambaran bahawa seseorang itu menjaga kesihatan mulut dengan baik. Gigi yang terjaga menunjukkan individu berkenaan mengambil berat tentang kesihatan diri dan penampilannya.
“Kebanyakan kita juga suka melihat mereka yang mempunyai gigi yang cantik, putih dan bersih... situasi ini juga secara tidak langsung menjadi pengukur kepada standard kecantikan seseorang itu,’’ tambahnya.
-- BERNAMA