Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

GCC Berhasrat Memperkukuh Kerjasama Dengan ASEAN Dalam Keselamatan Dan Perdagangan

23/05/2025 02:25 PM

 

Oleh Thivyamalini Ramalu

SEPANG, 23 Mei (Bernama) -- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menyatakan kesediaannya untuk memperkukuh kerjasama dengan ASEAN dalam usaha mempertingkatkan keselamatan serta memastikan rantau ini kekal aman dan stabil.

Penolong Setiausaha Agung GCC bagi Hal Ehwal Politik dan Rundingan Dr Abdel Aziz Abu Hamad Aluwaisheg berkata GCC ditubuhkan 43 tahun lepas dengan keselamatan sebagai satu daripada matlamat utama, selain menjadi sebuah blok politik dan ekonomi yang kukuh.

“Keselamatan amat penting bagi kami. Malangnya, kami tinggal di kawasan yang berisiko tinggi. Namun begitu, kami telah berjaya mengekalkan kestabilan dan keselamatan di rantau kami. Kami juga berusaha membantu negara jiran melakukan perkara yang sama,” katanya kepada Bernama sejurus tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Abdel Aziz berkata GCC turut berkongsi nilai-nilai bersama dengan ASEAN, khususnya untuk mengekalkan pendirian berkecuali dalam landskap politik global.

Ad Banner

“Dari segi keselamatan, apa yang kami kongsi bersama ASEAN ialah pendirian untuk tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia dalam konflik global yang melibatkan Amerika Syarikat, Eropah dan China. Sebaliknya, kami memilih untuk kekal berkecuali dan bebas,” katanya.

“Kami telah menjalin hubungan yang sangat baik dengan semua pihak, antara India dan Pakistan, serta antara Amerika Syarikat dan Rusia. Saya percaya kita harus terus mengekalkan hubungan sebegini,” tambahnya.

GCC dianggotai oleh enam negara iaitu Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Ia merupakan sebuah blok kerjasama ekonomi dan politik yang berpusat di rantau Teluk Arab.

GCC ditubuhkan secara rasmi menerusi Piagam Penubuhan GCC yang dimeterai di Abu Dhabi pada 25 Mei 1981.

Ditanya mengenai harapan utama GCC terhadap Sidang Kemuncak ASEAN kali ini, diplomat Arab Saudi itu berkata acara yang bakal berlangsung amat dinantikan kerana kedua-dua blok serantau berhasrat meningkatkan tahap kerjasama ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, GCC telah membina rangka kerja yang kukuh dalam kerjasama dengan ASEAN, khususnya dalam bidang dialog politik, keselamatan dan perdagangan.

“Dari sudut ekonomi, kami sedang meneroka penubuhan kawasan perdagangan bebas antara ASEAN dan GCC. Pada masa sama, kami turut mempertimbangkan untuk mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan GCC sebagai satu blok. Kami optimis bahawa sidang kemuncak ini akan merangsang kerjasama kita dengan lebih pantas dan menyeluruh,” katanya.

Tumpuan turut diberikan kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang dijangka menjadi pencapaian penting dalam diplomasi serantau.

Dilaporkan bahawa Perdana Menteri China Li Qiang akan mewakili negaranya dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur minggu depan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei, akan menghimpunkan para pemimpin negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu-isu serantau serta merangka hala tuju kerjasama ASEAN pada masa hadapan.

Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, sidang kemuncak ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas menjadi pengerusi pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan