Oleh Lucia Terey John
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia baru-baru ini bukan sahaja sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan hubungan dua hala, malah menjadi pintu masuk untuk Malaysia meneroka industri halal di rantau Eropah dan Asia Tengah.
Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Norazlan Hadi Yaacob berkata lawatan itu turut mencerminkan pendekatan diplomasi baharu Malaysia dalam meneroka hubungan dengan negara yang mempunyai potensi perdagangan besar dan kebersamaan nilai budaya serta tidak hanya tertumpu kepada kuasa besar tradisional seperti Amerika Syarikat (AS).
“Ramai orang tidak sedar imam-imam besar seperti Imam Bukhari berasal dari wilayah ini (Asia Tengah) yang mempunyai tradisi kefahaman keislaman sama. Mereka adalah kerajaan Islam yang besar dalam abad pertengahan. Oleh itu, kita menggunakan Malaysia sebagai negara Islam yang dihormati untuk pergi ke sana (Rusia).
“Saya yakin antara yang kita akan dapat (manfaat) ialah industri halal yang (nilainya) berjumlah berbilion ringgit. Jadi, lihat dari sudut itu, bukan dari sudut ideologi (kita) sokong siapa,” katanya dalam program Siaran Khas Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 terbitan Bernama TV malam semalam.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan hari ini diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan pula akan bermula pada 26 Mei.
Mengambil kira peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Norazlan berkata lawatan itu juga menandakan pendirian kerajaan yang terus konsisten dengan dasar luar bebas dan berkecuali, iaitu tidak terikat dengan blok kuasa tertentu.
Namun, pada masa sama, Malaysia masih aktif meneroka peluang strategik demi kepentingan nasional dan ASEAN, menurut pensyarah di Fakulti Sains Kemanusiaan itu.
“Kita (Malaysia) negara kecil dan negara dagang justeru kawan (rakan dagang) itu mesti banyak dan ini diakui oleh sesiapa pun.
“Dalam konteks ASEAN pula, Perdana Menteri antara pemimpin yang paling senior di ASEAN dan telah dikenali selama puluhan tahun.
“Oleh itu, rangkaian yang beliau bina cukup mendalam dan ini yang menjadikan ASEAN di bawah kepimpinannya lebih menarik apatah lagi pasaran ASEAN adalah besar dengan kependudukan hampir 700 juta orang,” katanya.
Menerusi kepengerusian ASEAN kali ini, Norazlan berharap Malaysia dapat meningkatkan kesatuan dan kerjasama ekonomi serantau kerana perdagangan intra-ASEAN masih rendah, iaitu hanya sekitar 20 peratus berbanding perdagangan dengan kuasa besar seperti AS yang berpotensi mencecah sehingga 60 peratus.
Katanya sidang kemuncak kali ini menjadi pemangkin kepada usaha tersebut kerana gabungan negara-negara utama dalam ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Singapura mempunyai visi yang sama, iaitu berharap dapat memperkukuh blok ini.
Menyentuh isu di Myanmar yang semakin mendapat perhatian ramai, Norazlan berkata Malaysia mengambil pendekatan berhemah dengan Perdana Menteri sendiri sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan negara itu di Thailand.
“Mungkin perjumpaan itu terlalu sensitif dan kita tak tahu apa yang mereka bincangkan tetapi sekurang-kurangnya telah dibuat. Adakah ia berhasil?
“Bagi saya, untuk itu, jangan pandang pada naratif yang salah, iaitu ideologi. Sekarang, aspek ekonomi lebih penting daripada ideologi dan saya fikir Myanmar pun akan mengurangkan (tidak terlalu fokus kepada) ideologinya dan meletakkan kepentingan ekonomi untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial