KUCHING, 20 Mei (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata pindaan berkenaan bertujuan memperkukuh tadbir urus biodiversiti negeri, melindungi hak peribumi, dan membuka peluang ekonomi mampan melalui komersialisasi sumber biologi.
“Ia memberi kuasa yang lebih meluas kepada Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) termasuk keupayaan untuk mengkomersialkan harta intelek, memohon pembiayaan luar, serta menubuhkan anak syarikat bagi memasarkan hasil penyelidikan,” katanya ketika membentangkan RUU itu pada persidangan berkenaan di sini hari ini.
Satu daripada komponen RUU berkenaan ialah pengukuhan mekanisme perkongsian faedah dengan komuniti peribumi Sarawak, memastikan bahawa pengetahuan tradisional yang digunakan dalam penyelidikan dan komersialisasi diiktiraf dengan sewajarnya dan diberi pampasan yang adil.
Beliau berkata SBC juga telah menerapkan penggunaan teknologi blok rantai untuk meningkatkan ketelusan dalam perjanjian Akses dan Perkongsian Faedah (ABS).
Beliau berkata RUU itu meningkatkan penalti bagi kesalahan melibatkan pengumpulan atau pengalihan sumber mana-mana sumber biologi yang dilindungi tanpa kebenaran, dengan denda antara RM50,000 hingga RM500,000, atau penjara antara dua hingga 10 tahun, atau kedua-duanya bagi pesalah individu, manakala antara RM1 juta hingga RM5 juta bagi kesalahan melibatkan syarikat.
Satu peruntukan penalti kewangan baharu turut dimasukkan dalam RUU itu membolehkan Majlis SBC mengenakan penalti kewangan sehingga RM20 juta bagi sebarang pelanggaran Ordinan, bagi kesalahan berulang penalti meningkat 10 kali ganda, manakala penalti kewangan yang tidak dibayar boleh dipulihkan sebagai hutang sivil penalti berserta caj tambahan bagi kelewatan pembayaran.
Pindaan berkenaan turut mengemas kini definisi utama, termasuk pengembangan makna “mikroorganisma” dan definisi standard bagi “asli” mengikut Ordinan Tafsiran 2005, serta memperkenalkan peruntukan bagi membenarkan SBC menyediakan kemudahan untuk aktiviti komersial yang berkaitan dengan kuasa Majlis SBC.
“Menerusi pengukuhan ordinan ini, RUU ini memperkasakan Sarawak untuk memanfaatkan sumber biologi yang kaya, memastikan kemajuan saintifik diterjemahkan kepada manfaat ekonomi melalui usaha komersial,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial