Tongkang Alami Isu Kestabilan Berhampiran Tapak Projek Pulau Silikon, 11 Kru Selamat

20/05/2025 11:28 PM

GEORGE TOWN, 20 Mei (Bernama) -- Sebuah tongkang stesen pengendalian semula pasir mengalami isu kestabilan berhampiran tapak projek Pulau Silikon di sini pagi tadi, namun kejadian tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Pengerusi Silicon Island Development Sdn Bhd Datuk Seri Farizan Darus berkata dalam kejadian pada 11.18 pagi tadi, 11 kru terdiri daripada dua warga tempatan, seorang warga China dan lapan warga Indonesia berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

“Penilaian awal menunjukkan faktor operasi termasuk kemungkinan isu pada paip pelepasan telah mempengaruhi muatan corong semasa proses pemindahan.

“Pasukan tindak balas kecemasan kami telah segera dikerahkan ke lokasi bagi mengawal keadaan, termasuk melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk mengekang sebarang kemungkinan tumpahan minyak,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata insiden itu telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Laut, Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang serta beberapa agensi berkaitan.

Pihak pemaju projek, katanya memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa berkenaan manakala Penang Infrastructure Corporation (PIC) akan terus memantau perkembangan situasi kejadian dengan teliti.

Pulau Silikon seluas 930.78 hektar ialah projek penambakan milik kerajaan Pulau Pinang dengan kali pertama kerajaan negeri membangunkan sebuah projek tambakan secara langsung untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan