AM > BERITA

KEMPEN PRK KKB: SEMUA PIHAK DIINGAT TIDAK SENTUH ISU 3R - FAHMI

27/04/2024 04:24 PM

KUALA PERLIS, 27 April (Bernama) -- Semua pihak diingatkan untuk berhati-hati dan tidak memainkan isu kaum, agama dan institusi raja (3R), terutama di platform media sosial, sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), yang bermula hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), untuk meningkatkan pemantauan bagi mengesan sebarang hantaran yang menyalahi undang-undang.

“MCMC juga telah menyatakan bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk memanggil sesiapa yang melanggar undang-undang negara kita, khusus berkaitan dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sekiranya perlu, mereka boleh dipanggil untuk dirakam percakapan, disita peranti dan sim mereka, serta dihadapkan ke mahkamah.

“Saya harap rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada siri kes yang telah dibawa ke mahkamah, mereka yang meletakkan komen-komen yang keterlaluan yang ekstremis hingga ada yang dikenakan denda yang sangat tinggi dan jika gagal membayar denda maka hukumannya ialah penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Jiwa MADANI di Kampung Seberang Ramai, di sini hari ini.

Fahmi berkata pihak yang terlibat dalam PRK berkenaan digesa berkempen secara sihat, menggunakan fakta dan mengelak daripada menyentuh perkara sensitif.

Beliau berkata sekiranya berlaku, MCMC akan segera memanggil mereka yang terlibat dan ia bukan hanya bagi mereka yang memuat naik kandungan berkaitan tetapi juga mereka yang memasukkan komen-komen yang keterlaluan.

“Jadi berpada-padalah, bersederhanalah dalam kita berkempen…yang penting kita nakkan rakyat khususnya pengundi bagi DUN Kuala Kubu Baharu mempunyai pilihan yang terbaik menjelang 11 Mei nanti,” katanya.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Fahmi menyampaikan watikah penubuhan Komuniti MADANI kepada 45 orang ketua dan wakil komuniti di seluruh negeri Perlis, melibatkan 15 kawasan DUN.

Beliau berkata pelantikan itu diharap dapat membantu penyebaran maklumat mengenai dasar kerajaan kepada akar umbi, supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat.

“Contohnya kita wujudkan akaun ketiga bagi KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) iaitu untuk menyenangkan rakyat, membolehkan mereka berbelanja dengan berhemah di samping memanfaatkan caruman yang telah dibuat dalam KWSP.

“Dasar kajian semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam yang akan mula diumum Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bermula 1 Mei dan ada beberapa ikhtiar lain yang kita lihat Perdana Menteri sedang usahakan sebagai sebahagian daripada apa saya sebut sebagai misi Perdana Menteri untuk Malaysia,” katanya.

Fahmi turut berharap Komuniti MADANI dapat menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, untuk memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan