AM > BERITA

PRK KKB : TEO SERTAI PROGRAM HEBAHAN SERU PENGUNDI TUNAI TANGGUNGJAWAB SABTU INI

09/05/2024 07:04 PM

HULU SELANGOR, 9 Mei (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini mengajak pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan keluar mengundi pada Sabtu ini.

“Jom beramai-ramai menjalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dengan keluar mengundi pada Sabtu ini,” katanya ketika menyertai program hebahan Info On Wheel (IOW) yang dilaksanakan Jabatan Penerangan (Japen), hari ini.

Program hebahan itu bagi menyebarkan maklumat mengenai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.

“Pengundi dinasihatkan untuk menyemak maklumat dan tempat mengundi di portal mysprsemak, membawa kad pengenalan dan perlu memastikan kad pengenalan tidak diserahkan kepada individu yang tidak dikenali.

“Orang ramai dinasihatkan untuk keluar awal ke tempat mengundi dan perlu mengelakkan dari memakai pakaian yang mempunyai lambang atau imej parti politik dan menandakan kertas undi dengan betul,” katanya yang menaiki van Japen, bagi menyampaikan maklumat berkenaan di sekitar pekan KKB di sini.

Tempoh berkempen selama 14 hari yang bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 27 April lepas, akan tamat pada 11.59 malam, esok (10 Mei).

DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada Selasa, 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal PRK berkenaan. 

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang Sock Tao dari Pakatan Harapan, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.

PRK KKB merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan